BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Salamun Alaika, ya Abdullah....

Salamun Alaika, ya Abdullah. Wahai hamba-hamba Allah, carilah hatimu di tiga tempat iaitu, ketika bersolat, membaca Al-Quran dan mengingati kematian. Sentiasalah kita bertasbih kepada Allah SWT, berselawat ke atas junjungan besar, Rasulullah SAW.

Friday, November 26, 2010

Kehidupan Selepas Mati (Part 3)

Assalamualaikum, bersambung lagi kita untuk tajuk kehidupan selepas mati. Selepas Al-Mizan, kita akan berada di titian Sirat. Itulah jambatan yang nipis, tidak tergambarkan betapa nipisnya jambatan itu.

Tetapi jambatan ini amat mudah dilalui oleh orang-orang yang beriman, namun ia begitu payah dilalui oleh orang-orang munafik dan kafir, maka, ketika mereka melintasi jambatan ini, mereka terus terhumban ke dasar neraka.

Titian Sirat inilah yang dinamakan sebagai sebuah titian yang menggetarkan hati-hati setiap manusia. Ada yang dapat berjalan dengan sangat laju seperti kilat. Ada pula yang seperti angin. Ada pula yang seperti kuda. Ada pulak yang berlari. Ada pula yang berjalan seperti biasa. Ada pula yang merangkak. Ada pula yang TERJATUH! Dalam golongan manakah kita yang sebenarnya? Di mana?

Apa bila kita melepasi titian sirat tadi. Beradalah kita di SYURGA. Terdapat 7 tingkat syurga. Syurga yang tak mampu kita bayangkan kenikmatan (sebab itu saya tak letak gambar untuk post yang kali ini, kerana syurga itu tidak tergambarkan). Dan apabila kita masuk ke pintu syurga itu, ALLAH SWT berkata... "ASSALAMUALAIKUM"....

Pejamkan mata anda sekalian. Pejamkan. Bayangkan kita berada di syurga. Bayangkan kita akan bertemu Allah. Bayangkan semuanya ada di sisi kita. Segala apa yang kita mahu, ada di sisi kita. Keluarga kita. Semua di sisi dan bahagia bersama-sama di syurga.

Demi Allah, DUNIA INI HANYALAH SETITIS AIR LAUT JIKA DIBANDINGKAN DENGAN SYURGA YANG MERANGKUMI SEMUA AIR LAUT ITU DAN MUNGKIN LEBIH!

Namun, ada sebuah perkara memedihkan. JIKA KITA TIDAK MAMPU MELEPASI TITIAN SIRAT, maka terkeluarlah kulit-kulit kita. Matilah kita dalam kebakaran. Minumlah air yang MENGGELEGAK. Rambut kita dibakar. Otak mendidih. Bayangkan betaoa dosanya kita di dunia dahulu.

WAHAI TUHAN,
KU TAK LAYAK KE SYURGAMU,
NAMUN TAK PULA AKU SANGGUP,
KE NERAKAMU.

AMPUNKAN DOSAKU,
TERIMALAH TAUBATKU,
ENGKAULAH PENGAMPUN,
DOSA-DOSA BESAR,
OH TUHANKU.

Ya Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Ampuni kami Ya Allah. Terimalah doa-doa kami Ya Allah. Terimalah Ya Allah. Terimalah taubat kami Ya Allah. Kami memohon keredhaan-Mu Ya Allah. Cintakanlah hati kami kepadaMu.

Amin Ya Allah.

Kisah Seorang Ahli Ibadah dengan Seorang Pelacur Wanita!

Assalamualaikum, maaf kerana sudah beberapa lama tidak mengupdate blog ini. Kerana begitu sibuk dengan dunia ini. Sekarang saya sudah punya waktu untuk menulis sebuah kisah. Kisah tentang seorang ahli ibadah dengan seorang wanita pelacur.

Al-Hasan meriwayatkan, bahawa dahulu ada seorang pelacur yang sangat cantik jelita. Dia tidak mahu melayani orang yang datang kecuali jika dibayar sebanyak seratus dinar.

Secara kebetulan pada suatu hari ada seorang ahli ibadah yang melihat wajah pelacur cantik itu sehingga membuatkan ahli ibadah itu tertarik dan jatuh cinta kepadanya. Kerana lelaki ahli ibadah itu mengetahui, bahawa untuk dapat dilayani oleh pelacur cantik itu orang harus memberinya wang sebanyak seratus dinar, maka lelaki ahli ibadah itu akhirnya pergi mencari pekerjaan untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.

Setelah wang sebanyak seratus dinar itu dapat dikumpulkan, dia pun pergi menemui pelacur cantik itu serta berkata kepadanya: “Kecantikanmu telah membuatkan aku benar-benar tergoda, oleh kerana itu, aku telah berusaha sedaya upayaku untuk mendapatkan wang seratus dinar sebagaimana yang engkau kehendaki itu.”

Wanita pelacur itu berkata: “Silakan masuk ke rumahku.”

Dengan tidak berfikir panjang, ahli ibadah itu langsung masuk ke rumahnya. Di dalam rumah pelacur yang cantik jelita itu ada tersedia sebuah tempat tidur yang dibuat dari emas. Pelacur itu lalu duduk di atas tempat tidurnya dan berkata: “Marilah segera mendekatiku.”

Ketika lelaki ahli ibadah itu bermaksud untuk memuaskan nafsunya, pada waktu itu juga tiba-tiba ia ingat kepada Allah sehingga menggigil seluruh tubuhnya. Kepada wanita pelacur tersebut lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah aku pergi saja meninggalkan kamu dan wang yang jumlahnya seratus dinar itu ambillah olehmu!”

Wanita pelacur itu kembali bertanya: “Apakah sebenarnya yang terjadi atas dirimu, bukankah kamu telah tergila-gila kepadaku sehingga kamu membanting tulang dan mengeluarkan peluh untuk mendapatkan wang sebanyak seratus dinar? Pada saat ini kamu telah mendapatkan apa yang kamu inginkan itu, akan tetapi mengapa kamu akan meninggalkan aku?”

Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT dan juga atas kedudukanku selama ini di sisi-Nya. Berkemungkinan kerana aku akan pergi meninggalkan kamu, kamu merasa benci kepadaku, ketahuilah olehmu, sesungguhnya aku juga sangat membenci kamu kerana Allah.

Wanita pelacur itu berkata: “Jika yang kamu katakan itu benar, aku tidak akan bersuami kepada orang lain melainkan kamu.”

Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah aku keluar!”

Wanita pelacur itu menjawab: “Tidak, kecuali bila kamu mahu menjadi suamiku.”

“Tidak, biarlah aku keluar dari rumahmu ini!” kata lelaki itu.

Wanita itu kembali bertanya: “Apakah yang membuatmu merasa keberatan bila aku memohon kepadamu supaya engkau mahu menikahi aku?”

Lelaki itu menjawab: “Untuk menjadi isteriku boleh saja, akan tetapi aku harus pergi meninggalkan tempat ini kembali ke tempat biasanya aku melakukan ibadah.”

Selepas berkata demikian, lelaki ahli ibadah itu langsung pergi meninggalkan rumah pelacur tersebut. Begitu juga dengan wanita pelacur itu ia ikut serta keluar dari daerahnya untuk bertaubat kepada Allah dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya. Wanita pelacur itu terus berjalan, hingga akhirnya ia sampai ke tempat asal lelaki ahli ibadah tersebut.

Kepada ahli ibadah tersebut seseorang datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya permaisurimu telah datang kepadamu.”

Ketika ahli ibadah melihat kedatangan wanita itu, ia terkejut dan langsung terjatuh dalam pelukan wanita pelacur yang cantik jelita itu. Pada waktu itu juga lelaki ahli ibadah tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir. Melihat keadaan demikian, kepada orang yang hadir wanita pelacur yang telah bertaubat itu bertanya? “Apakah lelaki idamanku yang telah meninggalkanku buat selama-lamanya ini ada mempunyai saudara?”

Orang yang hadir pada waktu itu menjawab: “Ia ada mempunyai seorang saudara lelaki, akan tetapi saudara lelakinya itu hidup dalam keadaan kemiskinan.”

“Jika memang demikian, aku akan menikah dengannya sebagai ganti dari lelaki yang aku cintai ini,” kata wanita itu.

Akhirnya wanita tersebut menikah dengan saudara lelaki ahli ibadah itu dan dari hasil pernikahan tersebut, Allah SWT mengurniakan kepada mereka sebanyak tujuh orang anak yang kemudian ketujuh orang anak tersebut menjadi nabi semuanya.

Friday, September 17, 2010

Allah Maha Mendengar!

Assalamualaikum, semuanya. Saya mengalami sebuah pengalaman yang amat menjadikan diri saya KERDIL baru-baru ini ketika saya sedang menghadapi Peperiksaan Percubaan PMR. Ketika itu tak silap saya hari ketiga peperiksaan dan saya sedang menghadapi kertas ujian Pendidikan Islam, kalau tak silap.

Saya terus menulis jawapan seperti yang dilakukan pelajar-pelajar lain di dewan itu. Di dalam dewan itu, meja saya di tepi tingkap dewan itu, dan hanya 50 cm dari pintu. Saya terus menulis, tiba-tiba hujan lebat mencurah-curah. Waktu tu sudah terasa amat sejuk. Menggigil-gigil. Air longkang di luar sudah melimpah-limpah.



Terdetik dalam hati saya "Ya Allah, perlahankan hujan ini. Hamba-Mu ini sedang sejuk,". Tiba-tiba hujan itu menjadi hujan renyai. Saya terkejut. Saya memandang rakan-rakan yang lain. Semua sedang khusyuk menjawab kertas soalan Pendidikan Islam itu.

Saya memohon kembali kepada Allah "Ya Allah, tunjukkan kekuasaanmu Ya Allah, lebatkanlah hujan ini Ya Allah,". Ketika itu, saya memandang ke luar, masih lagi hujan renyai-renyai. Kemudian, hujan kembali lebat, selebat-lebatnya. Menitis air mata saya. Terkejut, saya tak mampu melihat ke luar lagi.

Allah Maha Berkuasa ke atas apa-apa yang ada di langit dan di bumi. Malah, dia mendengar rintihan hambaNya ini. Jadi, kepada kawan-kawan sekalian, memohonlah kepada Allah yang Maha Mendengar. Ini adalah pengalaman sebenar saya. Hidayah menyusup masuk ke dalam hati ini.

Assalamualaikum.

Thursday, September 9, 2010

Khusyuk dalam Solat

Assalamualaikum, maaf kepada semua bloggers, followers, para readers, sudah 2 bulan tidak blogging kerana amat sibuk dengan urusan keduniaan. Kesibukan ini menghimpit masa saya untuk meng'post'kan post-post yang baru.

Persoalan pada kali ini, ialah "Khusyuk dalam solat". Apa makna khusyuk? Ada juga hamba-hamba Allah SWT yang masih belum faham apa sebenarnya makna khusyuk. Ada yang cakap, khusyuk tu khusyuklah. Apa permaknaan di sebalik kata khusyuk itu?

Cuba tanya pada kawan-kawan anda sekalian, apa maksud khusyuk?

Mesti ramai yang tak berapa nak tahu. Khusyuk bermakna fokus. Kalau dalam solat, tutup mata, bukan makna khusyuk. Kalau tutup mata, tapi tidur, khusyuk ke?

Syarat untuk khusyuk dalam solat, ialah yang pertama, fahamkan maksud ayat Quran tersebut. Sebab itulah, imam di Malaysia ini tak digalakkan baca surah yang panjang kerana makmumnya belum tentu faham akan maksud Al-Quran itu.

Yang kedua, dapat menghayati bacaan imam. Yang ketiga, fikiran kosong daripada sebarang bentuk fikiran atau masalah yang menghimpit.




Ini bukan hanya dapat mendatangkan kekhusyukan, tetapi ini akan mendatangkan pahala yang besar untuk kita.

Al Maa'un, ayat 4-6,

"Maka celakalah bagi orang-orang yang bersolat, yang mereka itu lalai dari sembahyangnya, lagi mereka itu riak."

Ayat ini menyatakan bahawa, celaka bagi mereka yang bersolat, tapi lalai, kemudian rasa bangga diri berlebih-lebihan, sudah pasti azab Neraka Jahanam untuk mereka.

Sebuah contoh yang saya dapat perhatikan, ada seorang lelaki yang bersolat jemaah bersama dua orang rakannya, lalu tiba-tiba kopiah/songkoknya jatuh di atas lantai dan diambilnya dan dipakai kembali. Kemudian, rakannya di sebelah menggelengkan kepala dengan perlahan. Disitu, sudah terlihat, rakannya mempunyai fikiran yang buruk kerana memikirkan rakannya yang seorang lagi tidak khusyuk dalam solat.

Berbeza pula dengan sebuah situasi yang sama tetapi, ketika kopiah/songkok itu terjatuh, tetapi tidak orang itu mengambilnya, kerana mahu dianggap khusyuk di dalam solat. Tetapi secara tiba-tiba kopiah/songkok itu dipijak oleh imam/makmum dihadapannya, ditambah pula kopiah/songkok itu adalah yang baru dibeli, apa yang ada dalam fikiran orang itu?

Dalam pandangan anda, manakah yang lebih untung dalam situasi yang sama ini? Yang pertama atau yang kedua? Sudah pasti yang pertama, kerana ia terus menghilangkan halangan yang menyebabkan dia tidak khusyuk dalam bersolat.

Yang kedua, begitu rugi tidak mengambil kopiah/songkok itu, kerana itulah halangan besar yang menyebabkan dirinya tidak dapat khusyuk. Walaupun, makmum di sebelah menganggap dirinya khusyuk, tetapi sebenarnya dirinya tidak fokus dalam solat.

Jadi, ketika bersolat, dan apabila terjadi situasi seperti ini, ambillah kopiah/songkok dan jangan risau jika rakan sebelah menganggap diri anda tidak khusyuk, kerana sebuah kopiah/songkok boleh menjadi halangan yang besar untuk anda khusyuk ketika anda bersolat.

Sekian, cuba-cubalah untuk menghafal makna Al-Quran dan ambil kopiah/songkok sekiranya ia terjatuh. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Saturday, July 17, 2010

Memberi Kemaafan...

Assalamualaikum... maafkan saya kerana sudah lama tidak meng'update' blog saya... Di sini saya ingin kisahkan sebuah kisah yang terjadi Rasulullah.

Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah, ada seorang pengemis buta yang hari demi hari apabila ada orang mendekatinya dia selalu berkata.

"Muhammad gila, Muhammad pendusta, Muhammad tukang sihir, apabila kalian mendekatinya, kalian akan dipengaruhinya."

Tidak kira siapa yang datang kepadanya, pengemis Yahudi itu pasti akan menghasut mereka supaya membenci Nabi Muhammad, Rasulullah SAW. Bermacam-macam kata-kata kesat dilemparkan walaupun pengemis tersebut langsung tidak mengenali baginda.

Sikap dan kata-kata buruk yang dilemparkan oleh pengemis Yahudi itu sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW. Namun demikian, Rasulillah tidak mengendahkannya. Sebaliknya, setiap pagi Rasulullah mendatangi si pengemis itu dengan membawakan makanan. Tanpa berucap sepatah kata pun, baginda menyuapkan makanan yang dibawanya ke mulut pengemis.

Si pengemis Yahudi yang buta kedua-dua belah matanya itu mengunkyah makanan tersebut. Habis makan, dia mengucapkan terima kasih tanpa mengetahui orang yang membuat kebaikan kepadanya tadi adalah Rasulullah SAW.

Baginda terus melakukan hal ini setiap pagi sampailah baginda wafat. Sepanjang baktinya itu, tidak pernah sekalipun Rasulullah memperkenalkan dirinya kepada pengemis Yahudi buta itu.

Setelah wafatnya Rasulullah, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Dia menunggu-nuggu di manakah perginya lelaki yang suka memberikannya makanan dan melayannya bagai saudara sendiri. Tapi penantian pengemis Yahudi hanyalah sia-sia kerana lelaki budiman yang ditunggunya itu telah pun wafat.



Suatu hati sahabat baik Rasulullah yakni Saidina Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya, Saidatina Aisya r.a yang merupakan isteri Rasulullah. Abu Bakar bertanya kepada Aisyah, "Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?"

Aisyah menjawab, "Wahai ayah, engkau adalah ahli sunah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja."

"Apakah itu?" tanya Abu Bakar.

"Setiap pagi Rasulullah akan pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana, kemudian menyuapkan ke mulutnya," kata Aisyah.

Keesokkan harinya, Abu Bakar pergi ke pasar dengan membawakan makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar dekati pengemis tersebut dan pengemis itu mula berkata-kata apabila menyedari ada orang mendekatinya.

"Muhammad gila, Muhammad pembohong, Muhammad pendusta, Muhammad tukang sihir," hina pengemis itu. Abu Bakar berasa sayu. Sedih sekali mendengarkannya.

Lantas, Abu Bakar memberikan makanan kepadanya. Ketika Abu Bakar mula menyuapkan makanan tersebut, si pengemis Yahudi yang buta itu tiba-tiba marah dan mengherdik, "Siapakah kamu?"

Abu Bakar menjawab, "Aku orang yang biasa menyuapkan makanan untukmu ada setiap pagi."

"Bukan! Engkau jangan membohongiku!" bantah si pengemis buta itu.

Abu Bakar terkejut, lantas bertanya, "Kenapa engkau berkata begitu?"

Jawab pengemis, "Sebab apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapkan makanan itu kedalam mulutku, tapi terlebih dahylu akan dihaluskan makanan tersebut, setelah itu barulah dia berikan padaku."

Abu Bakar tidak dapat menahan air matanya. Beliau menangis dan terpaksa mengaku siapa dirinya yang sebenar. "Aku bukan orang yang biasa datang kepadamu. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya kerana orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Nabi Muhammad, Rasulullah SAW."

"Muhammad?" soal pengemis buta itu, terperanjat dengan apa yang baru didengarnya tadi. "Maksud kamu orang yang suapkan makanan ke mulutku pada setiap pagi itu adalah Muhammad?" sambung pengemis.

"Ya...Muhammad," jawab Abu Bakar.

Seketika itu juga pengemis Yahudi itu menangis mendengar penjelasan Abu Bakar.

"Selama ini aku selalu menghina dan memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikit pun. Dia tetap juga mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia..." kata pengemis Yahudi sambil mengesat air matanya yang jatuh ke pipi.

Pengemis Yahudi buta itu bersyahadat di hadapan Abu Bakar pada saat itu juga. Mulai saat itu dia menjadi seorang Muslim.

Tuesday, June 22, 2010

Ujian yang sesungguhnya...

Assalamualaikum.... Alhamdulillah, bertemu lagi kita pada hari ini, dah makan semua ye? Sihat ye semua? Kalau sihat, Alhamdulillah, kalau tidak sihat, cuba ikhtiarkan ke klinik atau telan ubat walaupun pahit.



Ubat pastinya pahit untuk ditelan. Ulat beluncas juga sebelum menjadi seekor rama-rama yang cantik, ia perlu menghadapi sebuah pengalaman pahit iaitu ketika dia ingin keluar dari kepompongnya. Ubat juga pahit untuk ditelan, namun hasilnya amat baik untuk kita.

Begitu juga dengan kehidupan manusia yang pahit ketika tempoh belajar. Sewaktu waktu kecil kita, tempoh kita belajar untuk berdiri, belajar untuk berjalan, kadangkala kita terjatuh. Itulah waktu pahit, dan lihat bagaimana pula hasilnya.

Ketika kita di sekolah, belajar untuk menghadapi peperiksaan SPM, pasti kita berfikir hidup ini begitu susah. Sedangkan Allah memberi kita ujian agar karakter kita menjadi lebih kuat.

Tetapi sesungguhnya nikmat Tuhan kita yang manakah yang kita dustakan? Allah telah memberi kita berbagai nikmat. Tetapi bagaimana dengan diri kita yang sentiasa menyalahkan Allah kerana memberikan kita sebuah beban.

Tidakkah kita memikirkan yang bahwa Allah telah memberikan kita kesenangan dengan makanan yang kita telah makan, kenderaan untuk kita ke pusat ilmu, dan berbagai lagi ilmu.

Dan tidakkah kita memikirkan Allah yang menghidupkan kita selama ini? Tidakkah kita memikirkan yang Allah yang mendegupkan jantung kita? Bagaimana pula, dengan DNA kita, dengan elektron, dengan sel di dalam badan kita dan alam semesta yang sentiasa berpusing mengikut arah lawan jam. Dan bagaimana pula dengan umat Islam yang bertawaf di sekeliling Kaabah melawan arah jam.

Ini menunjukkan Allah mempunyai kuasa. Dan kita tidak sepatutnya ingkar dengan perintah Allah. Sesungguhnya manusia yang bersabar menerima takdir Allah, adalah orang-orang yang sesungguhnya bersabar.

Alhamdulillah....Amin, Assalamualaikum..

Saturday, June 5, 2010

Kehidupan selepas mati? (Part 2)

Assalamualaikum.

Bersambung kembali, tentang kehidupan selepas mati. Kali ini, setelah berada di Padang Mahsyar, kesemua umat manusia akan dihisab atau di mana dipanggil Al-Hisab. Al-Hisab didefinisikan sebagai perhitungan amalan manusia di dunia sama ada baik atau jahat.

Al-Hisab akan dijalankan di Padang Mahsyar. Allah akan menghitung semua amalan yang dilakukan oleh manusia sama ada kecil/besar, dan tidak ada suatu pun yang dapat disembunyikan daripada perhitungan Allah SWT. Masya-Allah, sesungguhnya tidak terlepas mana-mana manusia yang melakukan kesalahan daripada cengkaman Allah.

Dalam Surah Al-Kahfi, ayat 49

"Dan diletakkan buku amalan, lalu engkau lihat orang yang berdosa berasa takut dengan catatan di dalamnya, lalu mereka pun mengeluh dengan berkata 'Aduhai, malangnya kami! Buku apakah ini? Tidak ditinggalkan perkara yang kecil dan besar melainkan dihitung semuanya,'. Mereka dapati apa-apa yang telah dilakukan semuanya di hadapan mereka. Dan Tuhanmu tidak menzalimi sesiapapun."

Allah Maha berkuasa, Maha Agung. Jika kau yakin langit itu dahulunya adalah satu lalu ia meletup dan akhirnya terjadilah alam semesta. Jika kau yakin dengan perkara ini.



Surah Al-Anbiyaa', ayat 30

"Apakah orang kafir itu tidak mengetahui, yang dahulunya langit dan bumi ada satu, lalu Kami pisahkan antara mereka dan dari air kami ciptakan tiap-tiap sesuatu yang hidup. Mengapakah mereka tidak mahu beriman?"

Teori Big Bang telah membuktikan ayat ini benar. Jadi, yakinkah dirimu dengan kematian yang bakal anda hadapi? Masih belum yakinkah dirimu? Cuba kau lihat dengan gambar di bawah.



Surah Ar-Rahman, ayat 37-38

"Maka apabila langit terbelah dan ia menjadi berkilau seperti mawar merah. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"

Apa lagi bukti yang kamu mahukan? Sekiranya Allah SWT menciptakan kamu daripada tiada, adakah susah untukNya membangkitkan dirimu daripada bawah tanah? Adakah susah bagiNya?

Setelah kamu dihisab, datanglah pula masa untuk Al-Mizan. Ketika ini, manusia akan ditentukan ke mana mereka akan pergi. Samada syurga ataupun neraka. Jika amalan baik yang lebih banyak daripada yang buruk, maka syurgalah langkahnya. Jika amalan buruk lebih banyak daripada yang baik, maka nerakalah tempatnya.

Surah Al-Anbiyaa', ayat 47

"Dan ingatlah, Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk menimbang amalan makhluk pada hari kiamat, maka tiada sesiapa yang akan teraniaya sedikitpun, dan jika amalannya itu seberat biji sawi sekalipun nescaya Kami akan mendatangkan pahalanya & cukuplah kami sebagai penghitung."

Maka, bagaimana pula dengan diri kita ini? Saya tidak menuduh sesiapa, malah ini juga sebagai peringatan untuk diri saya sendiri. Setidak-tidaknya, lakukan amal-amal yang kecil. Walaupun kebaikan kecil, ia dianggap sebagai penyelamat ketika dihisab kelak.

Ya Allah, berikanlah keampunan kepada kami Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.

Insya-Allah, bersambung lagi kelak, Insya-Allah. Assalamualaikum. Salamun alaika, ya Abdullah.

Wednesday, June 2, 2010

Satu kalimah yang BERKUASA

Assalamualaikum, maaf, sudah hampir sebulan tiada update kerana sering sibuk dengan urusan-urusan yang lain, Insya-Allah, selepas bulan Oktober, lebih banyak update akan dibuat.




Apa maksud kalimah tauhid? Kalimah tauhid ialah sebuah janji atau pengakuan kita kepada Allah dan Rasulullah. Asyhadualla ilah ha ilallah, wa asyhadu anna muhammada rasulullah. Itulah kalimah tauhid.

Kalimah ini adalah kalimah yang amat berkuasa. Ia turut digeruni oleh semua umat manusia. Malah, ada orang yang bukan Islam mengatakan kalimah ini adalah kunci Syurga. Sebuah contoh saya berikan, kalimah ini telah membuatkan para sahabat berjaya menakluki Parsi, Rom dan Byzantine dengan sekelip mata.

Tidak kira, berapa ratus ribu tentera musuh, yang diingati oleh tentera Islam hanyalah kalimah tauhid dan Syurga jikalau mereka syahid. Sultan Muhammad Al-Fateh contohnya, mempunyai sebuah sifat yang mulia. Beliau tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib malah solat sunat tahajud sejak mula usia baligh.

Sejak kecil lagi, Sultan Muhammad Al-Fateh sering melihat Konstantinople dari seberang laut . Dengan sebuah seruan kalimah tauhid daripada 150 000 tentera Islam pada ketika itu, mereka berjaya menakluki Konstantinople setelah mengepungnya dengan begitu lama.

Kalimah tauhid ini amat berkuasa, dikisahkan ada seorang pelajar yang kurang pintar yang sedang menghadapi peperiksaan besar. Pada malam sebelum peperiksaan, dia kurang yakin lalu tidak henti-henti dia menyebut kalimah tauhid dengan sekuat-kuat keyakinan di dalam hatinya sehingga dia tertidur sendirinya. Ternyata, dia mendapat A dalam kesemua peperiksaan yang dihadapi sedangkan dia sering mendapat D atau C.

Ini bermakna kalimah ini adalah sebuah kalimah yang AGUNG. Allah SWT dan Rasulullah sentiasa diingati oleh setiap umat Islam, malahan kalimah ini telah membuat beberapa perkara yang ajaib, contohnya sebuah cerita di samada di Palestin atau Afhganistan, saya kurang pasti, ada seorang fisabilillah yang sedang berseorangan dan dia dikepung oleh beberapa orang askar musuh.

Tidak henti-henti dia mengucapkan kalimah tauhid ini. Dalam hati berkata, "Ya Allah, tukarkanlah serbanku ini menjadi sebuah bom,"

Lalu dibalingnya serban itu, dengan kuasa Allah SWT, serban itu meletup dan kesemua tentera musuh mati dengan sebuah kalimah agung yang tidak dapat lagi disangkalkan kekuasaannya.

Insya-Allah, sentiasalah berzikir dengan kalimah yang agung ini, Insya-Allah pasti kalimah tauhid ini akan dapat membantu diri para pembaca sekalian. Assalamualaikum.

Friday, May 7, 2010

Kehidupan selepas mati? (Part 1)

Assalamualaikum....

Ya, maaf kerana kurang meluangkan masa untuk meng'update' blog ini kerana urusan-urusan yang tidak dapat dielakkan.

Sering kali manusia terfikirkan mengenai kehidupan kita selepas mati. Orang kerapkali tidak meyakini tentang kehidupan kita selepas mati.

Bagaimana ketika kita mati?

Ketika kita mati, roh kita akan terbang ke Lauh Mahfuz, jasad kita pula akan ditanam sedalam 7 kaki ke bawah tanah dan bermula dari saat itu, datang Malaikat Ruman, dan kemudiannya Malaikat Munkar dan Nankir menanyakan kita tentang kehidupan kita di dunia.

Ketika kita dapat menjawab dengan benar, maka kubur kita akan diluaskan, diberikan perhiasan yang indah dari syurga. Dilayan baik oleh malaikat. Diberitahu tentang ganjaran yang akan diterima di dalam syurga. Subhanallah...Nikmat Allah SWT yang sungguh besar, Maha Pengasih kepada hambaNya.



Ketika kita menjawab dengan tergagap-gagap, maka seksaan yang keras, malah lebih keras daripada mana-mana seksaan yang pernah dijalankan di dunia. Kubur akan disempitkan sehingga tulang rusuk kanan bertemu dengan tulang rusuk yang kiri. Binatang-binatang yang berbisa seperti ular dan kala jengking akan mematuk dan menyengat kita. Allahuakbar...Allah SWT Maha Adil kepada hamba-Nya yang melakukan maksiat.



Setelah itu, kiamat berlaku. Gunung-ganang semuanya hancur terbelah, ombak lautan meninggi. Tiada lagi yang mampu dikatakan. Semua yang ada di bumi kemudiannya hancur berderai. Tahi-tahi bintang yang banyak, menghentam bumi. Kemudian terdengar sebuah pekikan yang dahsyat, lalu mematikan semua orang yang masih hidup ketika kiamat berlaku.

Kemudian kita kan dibangkitkan. Orang-orang kafir tidak meyakini kebangkitan semula selepas mati, malah dibantah-bantah pula.

'Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, dan Arsy-Nya di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Jika engkau berkata, "Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan setelah kamu mati" nescaya orang-orang yang kafir itu akan berkata, "Ini hanyalah sihir yang nyata."'

(Surah Hud, Ayat 7)

Ketika ini, masih ada yang ragu-ragu dengan firman Allah SWT ini. Tidakkah kita semua memikirkan betapa senang Allah SWT menciptakan anda semua ketika kita masih tiada dahulu.



Ketika kita semua dibangkitkan, Masya-Allah, berbagai-bagai jenis manusia, ada yang setinggi pohon kepala, ada juga yang seperti kita. Tiada seurat benang yang menutupi badan mereka, kerana itulah digalakkan wanita menyimpan rambut yang panjang untuk menutupi kemaluan. Ketika itu, setiap orang mencari-cari Nabi Muhammad untuk memohon syafaat daripadanya.

Bagi orang-orang mukmin, mereka berada di dalam keadaan selesa & tenang. Langsung tiada riak kegelisahan di muka mereka tetapi sungguh berbeza untuk orang kafir, munafik, dan fasik kerana ketika itu, mereka sungguh kepanasan seperti matahari berada sejengkal daripada kepala mereka.

Insya-Allah, di lain masa pasti bersambung jika umur masih panjang. Insya-Allah.

Thursday, April 29, 2010

Engkau masih mahu melakukan maksiat??

Assalamualaikum, maaf, tiada update sejak seminggu yang lepas. Hari ini, Alhamdulillah, terbaca sebuah kisah untuk teladan kita bersama.

Pada suatu hari, seorang lelaku datang menemui Ibrahim bin Adham r.a. Lelaki itu bertanya kepada ulama tersebut.

"Ya Ibrahim! Aku ini suka melakukan dosa sedangkan aku juga takut kepada Allah SWT. Tolonglah berikan aku cara atau nasihat agar aku dapat menghindari diriku daripada dosa."

Setelah mendengar kata-kata tersebut, Ibrahim menjawab.

"Au boleh membantumu tetapi engkau mesti terlebih dahulu menerima lima syarat yang akan aku berikan sebentar lagi.

Lelaki tu bertanya dengan gembira;

"Apa syarat-syaratnya, ya Ibrahim?"

Ibrahim bin Adham r.a memberitahu syarat pertamanya.

"Jika engkau mahu terus melakukan maksiat, jangan makan rezeki yang diberikan Allah SWT kepadamu."

Lelaki itu mengerutkan keningnya.

"Jangan makan rezeki yang diberikan-Nya? Ah, kalau begitu, aku nak makan apa? Bukankah semua rezeki di atas muka bumi ini milik Allah SWT, ya Ibrahim?"

Tegas Ibrahim Adham r.a.,"Ya! Kalau enghkau sudah tahu, bolehkah engkau makan rezeki-Nya sedangkan dalam masa yang sama engkau terus melakukan maksiat?"

"Baiklah... baiklah," lelaki itu mengalah, "Apa syarat yang keduanya, ya Ibrahim?"

"Kalau engkau mahu terus melanggar perintah Allah dan melakukan dosa, jangan engkau tinggal di bumi Allah SWT ini," Ibrahim bin Adham mengajukan syarat kedua.



Syarat ini membuat lelaki itu tercengang, "Hah! Ini lebih teruk lagi! Aku mahu tinggal di mana? Bukankah bumi ini milik Allah SWT?"

Ibrahim Adham r.a. tersenyum lalu bertanya kepada lelaki tersebut, "Wahai saudaraku, fikirkanlah, apakah engkau layak untuk makan rezeki dan tinggal di bumi ini sedangkan engkau melanggar perintah-Nya?"

Lelaki itu mengalah dan bertanya syarat ketiga pila.

"Kalau engkau masih mahu melakukan dosa, memakan rezeki dan tinggal dibumi-Nya, maka engkau pergilah ke tempat tersembunyi yang tidak mampu dilihat oleh Allah SWT. Engkau lakukanlah maksiat sesuka hatimu di tempat itu," Ibrahim Adham r.a. memberitahu syarat yang ketiganya.

Syarat ini membuat lelaki itu terperanjat," Ya Ibrahim! Ini nasihat apa? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"

"Nah, kalau engkau yakin dia sentiasa melihat, perlukah engkau melakukannya lagi? Sudahlah engkau makan rezeki dan hidup di bumi-Nya, engkau masih juga melakukan kejahatan di hadapan Allah! Wajarkah?" ucap Ibrahim.

Lelaki itu tunduk mendiamkan diri."Baiklah, ya Ibrahim! Apakah syarat keempat?"

Ibrahim menjawab, "Syarat seterusnya, jika malaikat maut datang untuk mencabut nyawa kamu, katakanlah kepadanya, bahawa nanti dulu! Jangan cabut nyawaku sekarang, aku mahu bertaubat dan melakukan amal soleh dulu!"

Lelaki itu menggeleng kepala. " Ya Ibrahim, mana mungkin malaikat maut terima rayuan aku! Mana boleh kematian kita ditangguh-tangguh!"

Ibrahim bin Adgam r.a. pantas menjawab, "Nah, kalau engkau yakin tidak boleh mengelak dan menangguhkan kematian, apakah jalan terbaik untuk keluar daripada kemarahan Allah SWT?"

Sekali lagi lelaki tersebut mendiamkan diri. Dia bertanya syarat kelima pula.

"Wahai saudaraku, jika malaikat Zabaniyah datang hendak mengheret kamu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan ikut bersamanya! Kalau engkau mampu melakukan syarat terakhir ini, maka engkau boleh terus melakukan maksiat semasa engkau masih hidup ini," Ibrahim Adham r.a. memberitahu syarat kelima.

Kata-kata Ibrahim membuatkan lelaki itu terdiam. Dia bertanya, "Ya Ibrahim, syarat ini terlalu menakutkan. Malaikat itu tidak akan menerima permintaanku!"

Lelaki itu tidak mampu lagi mendengar kata-kata Ibrahim. Dia menangis dan dengan wajah menyesal berkata, "Ya Ibrahim, cukup... cukup... jangan kau teruskan lagi. Mulai saat ini, aku bertaubat kepada Allah Taala. Aku takkan melakukan maksiat lagi," kata lelaki itu.

Ternyata dia menepati janjinya. Sejak dari pertemuannya dengan Ibrahim Adham r.a., lelaki itu benar-benar bertaubat. Dia melakukan segala amal ibadah dan mematuhi perintah Allah SWT sehingga menemui ajalnya.

Para pembaca sekalian, bagaimana pula dengan kita? Adakah kita takut kepada Allah SWT tapi kita masih melakukan maksiat? Katakanlah... ini adalah pilihanmu sendiri, engkau adalah manusia yang mempunyai pilihan..

Tuesday, April 20, 2010

Kebahagiaan sejati...

Assalamualaikum, bacalah cerita di bawah ini.

Seorang petani dan isterinya bergandingan tangan menyusuri jalan untuk pulang ke rumah dibasahi air hujan, tiba-tiba,berlalulah sebuah motorsikal di depan mereka, lalu berkatalah si suami itu.



"Lihatlah, sayang, betapa bahagianya suami isteri yang menunggang motorsikal itu, meskipun hujan, namun mereka boleh sampai cepat ke rumahnya, tidak seperti kita yang harus penat berjalan untuk sampai ke rumah."



Sementara itu, penunggang motorsikal itu dan isterinya sedang membonceng di bawah lebatnya hujan melihat sebuah kereta pick-up yang bergerak melewati mereka, penunggang motorsikal itupun berkata.

"Lihat, sayang, betapa bahagianya orang yang menaiki kereta itu, mereka tidak basah terkena air hujan seperti kita."



Lain pula keadaan di didalam kereta pick-up yang dinaiki oleh sepasang suami isteri, terjadi sebuah perbualan ketika sebuah kereta Mercedes berlalu dihadapan mereka, si suami berkata.

"Tengok kereta itu. Betapa bahagianya orang yang naik kereta yang bagus, pasti selesa, tidak seperti kereta kita yang selalu rosak."



Pemandu kereta Mercedes itu seorang lelaki yang kaya, dan ketika dia melihat sepasang suami isteri yang berjalan bergandingan tangan di bawah hujan lebat, lelaki kaya itu berkata di dalam hatinya.

"Betapa bahagianya suami isteri itu, mereka berjalan bergandingan tangan sambil menyusuri indahnya jalan di kampung ini, sementara aku dan isteriku tidak pernah ada waktu untuk kami berdua kerana kesibukan kami masing-masing."

Kebahagiaan tidak akan pernah kau miliki jika kau hanya melihat kebahagiaan yang dimiliki orang lain, dan kau selalu membandingkan hidupmu dengan hidup orang lain. Bersyukurlah atas hidupmu supaya kau tahu di mana kebahagiaan sejatu itu berada.

Monday, April 19, 2010

Dua ekor keldai...

Assalamualaikum, saya ingin menceritakan sebuah kisah lucu,tapi penuh dengan pengajaran. Iaitu kisah dua ekor keldai.

Pada suatu masa, dua ekor keldai yang menjadi kenderaan untuk membawa barangan pukal itu perlu membawa barang ke sebuah tempat yang jauh. Keldai A perlu membawa garam, dan keldai B perlu membawa span (yang menyerap air). Keldai-keldai ini melalui sebuah sungai kerana destinasi mereka berada berhampiran dengan sungai.

Ketika berjalan, keldai A selalu sahaja menjatuhkan badannya. Keldai B yang asyik melihat kejadian itu, semakin lama semakin pelik lalu terus menanyakan kepada rakannya tersebut.



"Sahabatku, kenapa kau sering sahaja menjatuhkan badan kau ke dalam air?" keldai B menanyakan kepada keldai A.

"Pertama kali aku terjatuh ke dalam air, apabila aku bangun sekali lagi, aku merasakan bebanku semakin berkurangan, kemudian, apabila aku jatuh lagi, bebanku semakin berkurang, dan apabila aku berulang-ulang melakukannya, bebanku semakin berkurang," jawab keldai A.

"Oh, patutlah muka kau, aku lihat semakin gembira," balas keldai B.

Keldai B pun terfikir, jika dia melakukan perkara yang sama, mungkin bebannya juga semakin berkurang. Dia pun cuba melakukan, apabila dia bangun kembali, bebannya terasa semakin berat, berulang-ulang dia melakukan, semakin penat rasa badannya.

Tuan mereka yang melihat kebodohan keldai B, hanya mampu gelak.

"Bodoh betul keldai ni, span tu menyerap air, matilah kau!" teriak tuan kepada keldai-keldai itu.

Baiklah, kita telah membaca cerita ini. Apa mesej yang dapat disampaikan melalui cerita lucu ini? Sudah pasti, keldai B mempercayai membuta tuli, dia memikirkan yang mungkin jika dia melakukan perkara yang sama seperti keldai A, bebannya juga akan semakin berkurangan. Namun, sangkaannya salah, malah beban itu semakin memberat kerana span menyerap air.

Kesalahan yang ada dalam diri keldai B ini, dia literatur iaitu mempercayai sesuatu dengan membuta tuli, dia melihat daripada sebuah sudut pandang, iaitu apabila dia melakukan seperti rakannya, dia ingat dia juga akan jadi seperti rakannya. Inilah belenggu yang sering menutupi hati kita tanpa kita sedari. Astagfirullahalazim....

Begitu juga dengan manusia, ketika kita menjadi seperti 'lembu ditindik hidung', ataupun mempercayai sesuatu secara membuta tuli, pasti akan menjadikan diri kita 'bukan kita'. Para pembaca, percayalah kepada diri anda sendiri, kerana jika kita berada di dalam kekecewaan sekalipun kerana keputusan kita, ia pasti membuatkan kita bangkit semula dalam keadaan lebih bersemangat.

Author : Unknown

Wednesday, April 14, 2010

Cawan Kosong

Assalamualaikum, ada sebuah kisah di sebuah sekolah. Seorang guru memesan sesuatu untuk anak muridnya untuk jamuan ringan di sekolah esok.

"Esok ada jamuan ringan di sekolah, murid-murid nanti bawa cawan kosong sendiri ya..." Pesan seorang guru kepada anak muridnya.

Keesokan harinya....(perbualan dua orang murid)

"Wana, awak bawa tak cawan kosong yang cikgu minta bawa semalam?"Mira bertanya.

"Saya tak bawa cawan kosong. Saya bawa botol air penuh. Malaslah nak bawa cawan. Saya nak minum air yang saya bawa ni saja. Tak perlu rebut-rebut ambil minuman nanti." Jawab Wana, sedikit angkuh.

Tibalah waktu dinanti, jamuan pun bermula.

"Baiklah, siapa yang bawa cawan kosong, letak di depan ni ya. Cikgu nak tuang satu air special ni. Air ni mahal sangat. Jarang sekali orang boleh minum. Sedap pula tu. Murid-murid semua bertuah tau..."kata cikgunya sambil memuji-muji kehebatan air itu.

Semua murid bangun dengan gembira untuk meletakkan cawan masing-masing kecuali Wana. Dia termangu sendiri. Dek kerana kesombongannya dan sangkaannya yang rendah terhadap permintaan cikgu untuk membawa cawan kosong amat dikesalinya.



Akhirnya, Wana tidak dapat menikmati air yang istimewa itu seperti sahabat-sahabatnya.

***********

Begitulah diibaratkan dengan menuntut ilmu, sahabat semua. Sebagai seorang yang sentiasa cintakan ilmu, kita seharusnya sentiasa menganggap diri ibarat cawan kosong setiap kali menuntut ilmu di majlis-majlis ilmu terutamanya. Dan, walaupun kita pernah mendengar sesebuah tajuk sebelum ini, jangan pernah merasa diri sudah cukup.

Setiap penyampaian ilmu itu akan berbeza penerimaan dan masukannya setiap kali. Mungkin didasari faktor pengalaman. Semakin kita menuntut ilmu, semakin kita harus merasakan diri semakin banyak yang kurang dan harus ditambah. Jangan pernah merasa cukup!

Jadilah ibarat cawan kosong, insyaAllah, kita akan merasakan cawan kita sentiasa bisa diisikan dengan ilmu baru. Jika kita merasakan diri sudah cukup seperti cawan yang penuh, maka kita tidak akan bisa merasakan diri penuh terisi. Bahkan, kita akan merasa rugi kerana cawan yang penuh tadi tidak dapat menampung air yang baru. Malah kita akan pulang dengan air yang sama tanpa sebarang perkembangan dan hal-hal baru.

Maka, ubahlah sikapmu. Jadilah rendah hati apabila bertemu dengan ilmu. Bawalah cawan kosong.

Author : Unknown

Tuesday, April 13, 2010

Kesombongan Raja Namrud

Assalamualaikum, bacalah cerita di bawah ini, semoga kita mendapat sesuatu daripadanya.

Di sebuah kota yang bernama Kota Babylon, semua orang yang tinggal di dalam kota tersebut berkeyakinan dan menyembah suatu Tuhan iaitu yang diperbuat daripada berhala. Jadi mereka mengukir patung-patung berhala lalu mereka juga yang menyembahnya. Mereka beribadah serta bersembahyang kepadanya dan mereka juga amat menakutinya tuhan berhala itu tadi. Dan antara lain menjadi salah satu tradisi mereka ialah apabila mereka selesai beribadah di rumah ibadah atau kuil mereka, sebelum keluar setiap mereka mesti membeli satu patung berhala kecil untuk mereka letakkan di dalam rumah dan juga untuk di sembah. Dan sebenarnya siapakah yang menjadi tukang ukir bagi patung-patung itu semua? Ia adalah seorang lelaki yang bernama Azar.

Pada suatu hari masuklah si anak kepada Azar tukang ukir patung anaknya, itulah dia Nabi Ibrahim as. Lalu Nabi Ibrahim pun bertanya kepada bapanya: “Wahai ayahku, adakah engkau benar-benar yakin dan percaya bahawa semua patung-patung yang kamu ukir dan jual itu semuanya adalah Tuhan yang hakiki?” Bila Azar mendengar pertanyaan sebegitu dari anaknya terus dia menjadi marah akan tetapi Nabi Ibrahim tidak memperdulikannya dan dia terus bertanya dan bertanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada bapanya Azar: “Adakah engkau ambil berhala menjadi Tuhan? Sesungguhnya aku melihat engkau dan kaum engkau dalam kesesatan yang nyata.”
(Al-An’am: 74)

Berterusanlah si Azar bapa Nabi Ibrahim memarahinya dia betul-betul marah kepada anaknya lantas dia berkata dengan suara yang tinggi kepada anaknya sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: Berkata bapanya: “Adakah engkau benci kepada Tuhanku ya Ibrahim? Demi jika engkau tidak berhenti nescaya kurejam engkau dengan batu dan tinggalkanlah aku dalam masa yang panjang.”
(Maryam: 46)



Sesungguhnya Nabi Ibrahim siang dan malam tidak habis-habis memikirkan tentang dunia yang ada di sekelilingnya dia tercari-cari manakah satu Tuhan yang sepatutnya dan semestinya dia menyembah. Maka pada suatu malam yang gelap gelita tiba-tiba muncul bintang yang cahayanya bergemerlapan di langit. Jadi dia terus berkata di dalam hatinya: “Inilah Tuhanku maka bermula dari hari ini aku akan menyembahnya!” Akan tetapi malang bila tiba waktu siang semua bintang-bintang yang bergemerlapan di waktu malam itu tadi pun terus hilang. Firman Allah SWT yang bermaksud: Tatkala malam telah gelap Ibrahim melihat bintang lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku? Tatkala bintang itu terbenam dia berkata: “Aku tidak mengasihi barang yang lenyap itu.”
(Al-An’am: 76)

Keesokannya Nabi Ibrahim melihat kepada bulan pula dia mendapati bahawa bulan di malam hari itu terlalu cantik itulah bulan purnama namanya. Maka dia mula berkata-kata lagi di dalam hatinya: “Aku rasa inilah dia Tuhan aku. Maka aku akan menyembahnya moga-moga ada kebaikan buatku.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: Tatkala dia melihat bulan telah terbit dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Tatkala bulan itu terbenam dia berkata lagi: “Jika aku tidak di tunjuki oleh Tuhanku nescaya aku termasuk kaum yang sesat.”
(Al-An’am: 77)

Akan tetapi sangkaannya itu meleset sama sekali kerana pada keesokannya bulan terbenam dan hilanglah cahayanya yang terang benderang pada waktu malam tadi. Tetapi dia tidak bersedih. bahkan bergembira kerana dia berpeluang melihat matahari pula. Lantas dia mengatakan: “Matahari lebih besar pula cahayanya dari bulan dan bintang, maka aku rasa inilah dia Tuhanku yang sebenar.” Tapi sayang bila sampai waktu petang di dapati matahari yang di sangkanya Tuhan itu turut hilang. Maka Nabi Ibrahim pun tidak jadi untuk menyembahnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Tatkala dia melihat matahari terbit dia berkata: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar.” Tatkala matahari itu terbenam dia berkata: “Wahai kaumku sesungguhnya aku berlepas diri dari apa-apa yang kamu persekutukan itu.” (Al-An’am: 78) Akhirnya Nabi Ibrahim mengambil keputusan bahawa dia tidak akan sama sekali menyembah mana-mana tuhan kecualilah Tuhan yang menjadikan alam ini Tuhan yang menjadikan bintang, bulan dan juga matahari juga dunia dan seisinya. Dia tidak akan sama sekali menyembah Tuhan selain Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ingatlah ketika Ibrahim berkata: “Wahai Tuhanku perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang yang mati.” Allah berfirman: “Tidakkah engkau beriman?” Sahutnya: “Ya... aku beriman tetapi untuk mententeramkan hatiku.” Allah berfirman: “Ambillah empat ekor burung dan hampirkan kepada engkau (potong-potong semuanya) kemudian letakkan di atas tiap-tiap bukit sebahagian dari burung-burung yang dipotong itu, kemudian panggillah semuanya nescaya datanglah semuanya kepada engkau dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah: 260) Bermula dari hari itu Nabi Ibrahim mula menyeru kepada kaumnya agar segera meninggalkan tuhan berhala mereka itu “sembahlah Allah Tuhan yang Esa dan juga Tuhan yang menjadikan kita semua.” Akan tetapi mereka tidak memperdulikan kata-katanya bahkan mereka mengutuk dan memberikan ancaman kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka berkata: “Adakah engkau mendatangkan kebenaran kepada kami atau engkau bermain-main?” Dia berkata: “Bahkan Tuhan kamu ialah Tuhan langit dan bumi yang telah menciptakan semuanya. Dan aku menjadi saksi atas demikian itu.” (Al-Anbiyaa’: 55 dan 56)



Mereka memang langsung tidak menghiraukan kata-kata Nabi Ibrahim hinggakan sampai peringkat mereka mengatakan bahawa Nabi Ibrahim adalah seorang yang bodoh lagi jahil dan juga akal fikirannya terlalu sempit serta menyeleweng. Maka pada suatu hari seluruh ahli penduduk kota itu keluar beramai-ramai kerana merayakan hari raya bagi Tuhan berhala-berhala mereka dan perayaan tersebut di jalankan di luar kota bukan di dalam kota. Jadi di kala itu tidak ada seorang pun yang tinggal di dalam kota lengang kecuali Nabi Ibrahim sahaja. Begitu juga dengan rumah ibadah mereka lengang tiada sesiapa.

Nabi Ibrahim merasakan bahawa inilah peluang untuk dia mengajar kaumnya lalu dia bersegera menuju ke rumah ibadah kaumnya. Dia terus masuk ke dalamnya yang mana terdapat satu kawasan lapang dipenuhi dengan bermacam-macam patung berhala. Tanpa berlengah Nabi Ibrahim terus mengambil kapaknya lalu dipukul dan dihancurkan ke semua patung-patung itu tadi habis semua dimusnahkan cuma satu sahaja yang tidak dimusnahkan iaitu patung yang paling besar. Kemudian yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dia menyangkutkan kapaknya tadi ke leher patung berhala yang besar itu dan Nabi Ibrahim terus pergi meninggal rumah ibadah tersebut pulang ke rumahnya.

Di kala itu semua kaumnya sedang sibuk merayakan perayaan tuhan mereka. Mereka merayakannya dengan penuh meriah sekali lebih-lebih lagi si raja yang bernama Namrud iaitu raja Kota Babylon ketua bagi mereka juga turut hadir. Bilamana perayaan tadi selesai terus raja memberi isyarat kepada hamba-hambanya dan tanpa berlengah si hamba-hamba tadi terus mengangkatnya untuk kembali semula ke dalam kota mereka. Dan sebelum sampai ke istananya raja mengarahkan kepada seluruh hamba-hambanya agar membawa dia ke rumah ibadah (kuil). Bila sahaja raja Namrud menjejakkan kakinya ke dalam kuil dia terperanjat besar begitu juga dengan rakyat-rakyat yang turut hadir. Dia dapati bahawa ke semua patung-patung berhala telah habis musnah jatuh bergelimpangan dan berkecai.



Kemudian Namrud berkata dengan suaranya yang tinggi: “Siapakah yang berbuat sebegini kejam sekali?” Seluruh rakyatnya yang hadir terus berkata: “Lain tidak bukan ialah seorang pemuda yang tidak mahu beriman kepada tuhan-tuhan kita ini. Pemuda itu namanya Ibrahim!” Raja Namrud terus menjerit: “Bawa segera pemuda itu ke mari!” Merekapun bersegera pergi mendapatkan Nabi Ibrahim. Mereka menangkapnya dan dibawa ke hadapan Namrud yang masih menunggu di dalam kuil.

Sampai saja terus Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim: “Kamukah yang melakukan perbuatan ini kepada tuhan-tuhan kami?” Nabi Ibrahim berkata: “Bukan aku yang melakukannya kamu tidak lihat di leher patung berhala yang paling besar itu terdapat satu kapak yang besar. Sudah tentulah dia yang memusnahkan ke semua patung-patung itu. Kalau tidak percaya cuba kamu tanyakan kepadanya ataupun kamu tanyakan kepada patung-patung yang telah binasa tentang siapakah yang memusnahkan mereka semua?”

Raja Namrud dan rakyatnya tidak semena-mena merasa malu dan tersipu-sipu kerana mereka tahu bahawa sesungguhnya patung-patung itu sama sekali tidak boleh berkata-kata. Lalu Namrud pun terus berkata: “Wahai Ibrahim! Kamu sendiri pun tahu bahawa patung-patung itu semua tidak boleh berkata-kata, tidak boleh berjalan-jalan dan juga langsunglah tidak boleh buat apa-apa!”

Terus Nabi Ibrahim as. menjawab: “Jadi kalau begitu mengapa kamu menyembahnya. Bagaimana kamu boleh menyembah sesuatu yang langsung tidak memberi kamu apa-apa manfaat tidak memberi mudarat buat musuhmu dan langsung tidak dapat untuk mempertahankan, dirinya sendiri?”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ibrahim berkata: “Patutkah kamu sembah selain Allah barang yang tiada manfaat kepadamu sedikitpun dan tidak pula memberi mudarat kepadamu? Celakalah kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka apakah kamu tidak memahaminya?” (Al-Anbiyaa’: 66 dan 67) Akhirnya Raja Namrud dan seluruh rakyatnya mengambil keputusan agar Nabi Ibrahim dibakar dengan api atau unggun yang besar. Maka Namrud pun terus memerintahkan seluruh rakyatnya agar menyediakan api besar hinggakan sampai peringkat burung-burung tidak berani untuk terbang di atasnya kalau terbang juga mereka akan terbakar kerana nyalaan api yang besar itu.

Setelah sampai masa yang telah ditetapkan, Namrud pun duduk di atas singgahsana sambil terus melihat kepada api yang sangat besar itu di dalam hatinya terselit kegembiraan yang sangat kerana sekejap lagi Nabi Ibrahim akan mati dibakar api, dia gembira kerana api akan memakan seorang yang tidak mahu beriman dengan tuhan mereka.

Mereka pun mengikat Nabi Ibrahim pada satu tiang seakan-akan lastik yang besar dan terus Nabi Ibrahim di lemparkan ke dalam api yang besar itu. Mereka terkejut melihat Nabi Ibrahim kerana ketika mahu dilemparkan dia begitu tenang sekali langsung tidak meronta-ronta ataupun melawan. Lebih terkejutlah lagi bila mereka saksikan bahawa Nabi Ibrahim langsung tidak di makan oleh api bahkan dia boleh berjalan ke sana sini pula dalam api tersebut.



Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai api! Hendaklah engkau menjadi dingin dan selamat terhadap Ibrahim.” Mereka hendak memperdayakan Ibrahim dengan dia lalu Kami berkati di dalamnya untuk seluruh alam.(Al Anbiyaa’: 69 dan 70) Sesungguhnya Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Ibrahim dari kejahatan dan kezaliman si Raja Namrud dan rakyat-rakyatnya dan Allah menunjukkan kepada mereka bahawa sebenarnya patung-patung berhala itu langsung tidak memberi makna apa-apa langsung, tidak ada kekuatan dan bagi manusia yang di kurniakan akal fikiran pula tidak wajarlah merasakan bahawa patung berhala itu sebagai Tuhan yang mesti disembah.

Tidak lama selepas itu api yang besar tadi pun terpadam lalu Nabi Ibrahim segera keluar dari longgokan-longgokan bara api dengan selamat seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku ke atasnya. Dan terus Nabi Ibrahim membawa dirinya meninggalkan kaumnya membiarkan mereka itu semua dengan kehendak mereka, juga buatlah sesuka hati dengan tuhan berhala mereka. Nabi Ibrahim menyerahkan segalanya kepada Allah SWT untuk memberikan hukuman juga membinasakan mereka.

Bermusafirlah Nabi Ibrahim membawa diri kepada Tuhannya ditinggalkannya kaum yang degil lagi bodoh sombong dalam kebinasaannya yang telah Allah jadikan kepada mereka. Dia membawa diri bermusafir hinggalah sampai ke bumi Palestin dan di sana dia menyeru manusia supaya beriman Tuhan yang Esa iaitu Allah SWT dan mengerjakan ibadah kepadanya. Ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa di mana sahaja Nabi Ibrahim pergi dia tetap menanamkan keimanan kepada Allah dan akhirnya Allah SWT juga telah memberi hadiah yang besar kepadanya iaitu lahirlah dari zuriatnya keturunan yang baik dan soleh yang kemudian kebanyakan mereka itu menjadi nabi dan rasul yang Allah utuskan kepada seluruh manusia agar membawa mereka kepada bertuhankan Allah SWT dan menjauhkan mereka dari bertuhankan tuhan selain Allah seperti berhala dan lain-lain lagi. kemudian memberi tunjuk ajar kepada seluruh manusia untuk beribadah kepada Allah SWT. Dengan sebab itulah Nabi Ibrahim digelarkan dengan gelaran “Bapa sekalian nabi-nabi.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Perhatikanlah riwayat Ibrahim dalam kitab (Al-Quran). “Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat benar dan seorang nabi.” (Maryam: 41)

Jangan memilih...

Assalamualaikum, saya membaca sebuah kisah yang mempunyai sebuah mesej penting. Ceritanya begini.


Seorang guru bersama seorang muridnya berada di sebuah taman bunga yang besar. Semua bunga yang ada di situ indah-indah.

"Sekarang, kau pergi cari sekuntum bunga yang paling indah, tetapi kau tidak boleh berpatah balik." perintah sang guru.

Muridnya pun terus mencari-cari, dari hujung ke hujung yang sebelah lagi. Lalu dengan kecewa dia pun terus kembali kepada gurunya tanya membaca sekuntum bunga pun.

"Maaf, guru, saya tidak dapat membawa sekuntum bunga pun." kata si murid dengan nada yang sedih

"Kenapa?" tanya sang guru.

"Tadi, saya terlihat sebuah bunga yang paling indah di pertengahan jalan, tapi saya merasakan ada lagi bunga yang lebih indah, tetapi ternyata telahan saya itu meleset dan saya teringat pesan guru yang mengatakan saya tidak boleh berpatah balik." jawab si murid.

"Itulah kehidupan. Ketika dia terus mencari yang terbaik contohnya pasangan yang terbaik, peluang yang terbaik, dengan sia-sia, dia melepaskan peluang tersebut kerana memikirkan ada lagi peluang yang lebih baik akan datang." kata sang guru.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita selalu pergi jauh untuk mencari yang terbaik lalu peluang yang ada untuk kita terlepas begitu sahaja? Ambillah setiap peluang yang ada, pasti dibukakan pintu rezeki untuk mendapat peluang yang lebih baik di kemudian harinya.

Apa yang kita buat, kembali kepada kita..

Assalamualaikum, bacalah cerita di bawah.



Seorang anak dan ayahnya sedang berjalan diatas gunung. Tiba tiba, anaknya terjatuh, dia terluka dan berteriak "AAAhhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!."

Tetapi dia sangat hairan mendengar ada suara pantulan dari gunung sebelah."AAAhhhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!."

Dengan penuh rasa ingin bertanya, diapun kembali berteriak "Siapa kamu?" Diapun menerima kembali jawaban yang sama "Siapa kamu?" dan kemudian dia berteriak ke gunung itu: "Saya mengagumimu!" dan suara itupun kembali "Saya mengagumimu!."

Dengan muka marah pada jawaban itu, dia berteriak "Penakut" Dia masih menerima jawaban yang sama, "Penakut!"

Dia melihat ayahnya dan bertanya "Apa yang sedang terjadi?" Ayahnya sembari tersenyum dan berkata "Sayang, perhatikan."

Ayahnya berteriak "Kamu Juara." Diapun menerima jawaban yang sama "Kamu Juara."

Anak ini kembali hairan dan tidak faham mengapa itu boleh terjadi, kemudian ayahnya menjelaskan bahawa itulah yang disebut dengan pantulan gema, tetapi itulah sesungguhnya hidup.Segalanya akan kembali kepada kita, apa yang kita katakan, apa yang kita lakukan. Hidup kita secara sederhana adalah gambaran dari kelakuan yang kita lakukan.

Jika kamu ingin lebih banyak cinta dalam dunia,
maka ciptakanlah cinta dalam hatimu.
Jika kamu ingin lebih berkemanpuan dalam pasukanmu,
maka tingkatkanlah kemampuanmu.

"Hidup akan memberikan kembali kepadamu, apa yang telah kamu berikan kepadanya,dalam semua hal."

Sunday, April 11, 2010

Penjara Fikiran

Assalamualaikum, baca kisah ini dan dapatkan moral daripadanya.

Seekor belalang lama terkurung dalam satu kotak. Suatu hari ia berjaya keluar dari kotak yang mengurungnya, dengan gembira dia melompat-lompat menikmati kebebasannya.

Di perjalanan dia bertemu dengan belalang lain, namun dia hairan mengapa belalang itu boleh lompat lebih tinggi dan lebih jauh darinya.

Dengan cepat dia bertanya kepada belalang tersebut,

“Mengapa kau boleh melompat lebih tinggi dan lebih jauh daripadaku,padahal kita tidak jauh berbeza dari usia mahupun saiz tubuh?”

“Dimanakah kau tinggal selama ini? Semua belalang yang hidup di alam bebas pasti boleh melakukan seperti yang aku lakukan ini.”

Ketika itu si belalang baru tersedar bahawa selama ini kotak itulah yang telah membuat lompatannya tidak sejauh dan setinggi belalang lain yang hidup di alam bebas.



Sahabat,

Sering kita sebagai manusia, tanpa sedar, pernah juga mengalami hal yang sama dengan belalang tersebut. Kehidupan yang buruk, hinaan, trauma masa lalu, kegagalan berulang, perkataan teman , tradisi, dan semua itu membuat kita terpenjara dalam kotak yang mematahkan potensi kita.

Sering kita mempercayai buta-buta apa yang mereka berikan kepada kita tanpa berfikir secara dalam bahawa adakah perkara itu benar atau benarkah kita selemah itu? Lebih teruk lagi, kita selalu lebih memilih mempercayai orang lain daripada mempercayai diri sendiri.

Tahukah anda bahawa gajah yang sangat kuat boleh diikat hanya dengan tali yang terikat pada pokok kecil? Gajah sudah akan merasa dirinya tidak bebas jika ada “sesuatu” yang mengikat kaki nya, padahal “sesuatu” itu boleh jadi hanya seutas tali kecil.

Sebagai manusia kita mampu untuk berjuang, tidak menyerah begitu saja kepada apa yang kita alami. Kerana itu, teruslah berusaha mencapai segala target positif yang ingin kita capai. Memang susah, memang penat,tetapi jika kita sudah sampai di puncak, semua pengorbanan itu pasti akan terbayar.

Sahabat,

Hakikatnya, kehidupan kita akan lebih baik kalau kita hidup dengan cara hidup pilihan kita sendiri, bukan dengan cara yang diberikan orang lain untuk kita.

JUST BE YOUR SELF...

Jadilah dirimu sendiri,perumpaan pun mengatakan. “Biarkan anjing menggonggong tapi kafilah tetap berlalu”.

Sahabat,

Allah menciptakan kita untuk menang, bukan untuk kalah atau dikalahkan.

Kita adalah pemenang setelah melalui proses perjuangan yang melelahkan,jadi sudah selayaknya kita selalu jadi pemenang. Kita layak dibanggakan!!



Kita layak untuk berjaya!!

Kita adalah pahlawan dari kehidupan kita sendiri.
Jadi apapun yang terjadi, jadilah dirimu sendiri.

Terima kasih.

Author : Unknown

Tuesday, April 6, 2010

Who are you?

Assalamualaikum,

Para pembaca sekalian, saya mahu menanyakan sebuah soalan yang ringkas.

"Who are you?"

Siapa kamu? Siapakah diri kalian? Ya,saya pasti ada di antara pembaca yang menjawab 'Saya Siti','Saya Amir','Saya Sofwan','Saya Fatin','Saya Hazrul', pasti ada diantara kalian menyebut nama anda sendiri.

Ada juga antara para pembaca sekalian mengatakan, 'Saya pelajar sekolah','Saya Pengarah Syarikat','Saya seorang surirumah',betul tak?

Juga ada di antara kalian yang menyebut, 'Saya suka makan','Saya suka main bolasepak','Saya suka berkawad','Saya suka merentas desa'.

Ketika anda menjawab nama anda,jika saya mengubah nama anda, adakah anda masih bernama 'Siti'? Ketika anda menyebut pekerjaan anda, itu hanyalah pekerjaan anda, itu bukan diri anda. Ketika anda menjawab 'Saya suka makan', itu adalah sikap anda atau hobi.

Sesungguhnya, siapa diri kamu? Siapa kamu? Fikirkanlah, masuklah ke dalam dirimu, tutup matamu, sesungguhnya siapa dirimu? Ambil 5 minit, duduk dengan relaks dan fikirkan, masuk ke dalam dirimu, siapa yang sesungguhnya menciptakan dirimu?

Ada yang sesungguhnya mencari siapa dirinya. Sesungguhnya, anda adalah wakil Allah SWT di muka bumi ini.

Lupakah anda ketika anda masih tiada di atas muka bumi. Anda pernah bersaksi kepada Allah.

Ketika Allah SWT bertanyakan, "Bukankah aku Tuhanmu?"

Lalu, kita semua menjawab, "Ya, benar, kami menyaksikan,"

Adakah anda semua lupa siapa dirimu? Dirimu sesungguhnya hanya kerdil, jangan lagi anda semua sombong di atas muka bumi, jangan lagi anda bongkak, angkuh. Adakah anda semua lupa dengan cerita Qarun?

Ketika Qarun ini masih muda, dia bekerja sehingga menjadi kaya-raya. Hartanya begitu banyak sehinggakan ada beratus-ratus kunci gudang milik si Qarun ini. Dahulu, ketika dirinya miskin, dia ingat kepada Allah SWT, setiap hari berdoa, agar diberikan harta yang banyak, namun ketika dia ada harta yang sebanyak-banyaknya, dia lupa kepada Allah SWT, Allah begitu murka lalu si Qarun bersama harta-hartanya ditelan bumi.

Ini menggambarkan betapa ketika Qarun berdepan dengan ujian ketika dia susah, dan juga ujian ketika dia senang. Maka, kita sebagai hamba Allah harus berterima kasih kepada Allah. Syukur kepada Allah atas semua yang diberikan olehNya kepada kita. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?



Masihkah anda ingat dengan cerita si Swan?

Ada seekor ibu Swan bertelur, lalu telur itu disembunyikan, malangnya telur itu diambil oleh seekor ibu itik. Lalu membesarlah anak Swan itu dengan anak-anak itik yang lainnya. Anak Swan ini mengganggap dirinya seekor itik. Pada suatu hari, anak Swan ini melihat kumpulan Swan yang cantik. Anak Swan itu begitu kagum dengan sekumpulan Swan yang cantik tersebut. Setelah beberapa ketika hidup di dunia, anak Swan ini mati.

Apa pengajaran yang kita boleh dapati daripada cerita ini? Sesungguhnya ketika anak Swan itu melihat sekumpulan Swan, sesungguhnya dia melihat dirinya sendiri. Tetapi, dia sendiri tidak mengenal dirinya.

Cerita boleh diambil pengajaran. Ketika kita melihat orang yang baik, orang yang jujur, orang yang bertanggungjawab, orang yang adil, sesungguhnya kita melihat diri kita sendiri, tetapi, kita yang tidak mengenal diri kita ini, akhirnya mati tanpa menjadi wakil Allah.

Allah SWT telah meniupkan sifat-sifat yang baik iaitu lebih dikenal sebagai suara hati. Jadilah wakil Allah SWT yang baik kerana itulah yang Allah mahukan hamba-Nya lakukan, tetapi kita sering melakukan kerosakan, sering melakukan dosa.

Be yourself, do not be others.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, March 31, 2010

Syaitan Menguji Abdul Qadir Jailani

Assalamualakum, kisah ini adalah sebuah kisah teladan bagi kita. Kisah tentang ujian seorang alim ulama ahli sufi, iaitu Syeikh Qadur Jailani. Beliau amat terkenal dengan akhlaknya yang terpuji dan ilmunya yang tinggi di kalangan umat Islam. Kerana sifatnya yang warak atau dekat dengan Allah SWT, ramai pengikutnya yang berlebih-lebihan memuliakannya.

Diceritakan, suatu hari Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani berjalan merantau seorang diri. Dalam mengharungi padang pasir yang panas terik itu, beliau kehausan. Tiba-tiba ia melihat sebuah bejana dari perak melayang ke udara, lalu perlahan-lahan turun kepadanya yang diselimuti awan di atasnya.

Saat itu, diceritakan terdengarlah suara ghaib di angkasa."Hai Abdul Qadir,minumlah isi bejana ini. Hari ini kami telah menghalalkanmu makan dan minum semua yang selama ini kuharamkan, dan telah kugugurkan semua kewajipan untukmu," kata suara ghaib itu.

Sebagai orang yang arif, Abdul Qadir cukup tahu, bahawa suara yang menyerupai wahyu itu, cuma suara syaitan yang menggoda keteguhan imannya. Maka, marahlah dia dan berkata."Hai ,Malaun, pergilah engkau dari sini. Sesungguhnya, aku tiada lebih mulia dibandingkan dengan Nabi Muhammad SAW di sisi Allah SWT. Kepada Rasulullah saja tidak mungkin berlaku ketentuan semacam itu. Barang yang diharamkan Allah selamanya, akan tetap haram. Dan kewajipan hamba kepada-Nya tidak pernah digugurkan, termasuk pada diriku," ujarnya.

Itulah ujian seorang ulamak, bagaimanakah pula ujian kepada kita manusia yang biasa ini??

Rujukan : Himpunan Kisah-Kisah Jin Iblis Syaitan hasil tulisan Muhammad Isa Selamat.

Tuesday, March 30, 2010

Janganlah bersedih...

Ketika orang mengejek-ejekmu, jangan sesekali membalas, kerana kau pasti ingat, Rasulullah, lebih teruk, dicaci, malah dibaling najis.

Ketika orang mengetawakanmu, jangan sesekali membalas, kerana kau pasti ingat, Rasulullah, lebih teruk, dikatakan gila.

Ketika orang berbuat jahat kepadamu, jangan sesekali membalas, kerana kau pasti ingat,
Rasulullah, lebih teruk, nyaris-nyaris dibunuh.

Jika kau pernah diejek, jangan sedih, dengarkan ayat Allah SWT di bawah. Janganlah bersedih.



Bayangkan, kita adalah umat Nabi Muhammad. Mengejek-ejek adalah sesuatu yang amat buruk seperti firman Allah dalam Surah Al-Hujuraat, Ayat 11.

"Hai orang-orang beriman, janganlah kamu laki-laki menghinakan kaum laki-laki (yang lain), kerana boleh jadi kaum yang dihinakan itu, lebih baik dari kaum yang menghinakan, dan jangan pula kaum perempuan menghinakan kaum perempuan (yang lain), kerana boleh jadi perempuan yang dihinakan itu, lebih baik dari perempuan yang menghinakan.Janganlah kamu mencela-cela sesama kamu dan jangan pula panggil memanggil dengan gelaran (yang tidak baik). Seburuk-buruk nama ialah pasik sesudah keimanan.Barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang aniaya."

Lihatlah betapa orang yang menghina itu sungguh-sungguh akan dihinakan oleh Allah SWT. Engkau adalah seorang manusia yang suka menganiaya orang lain. Jadi mohonlah ampun kepada Allah SWT. Sesunggguhnya, Allah Maha Pengampun.

Mencari Kebahagiaan...

Pasti anda pernah mencari kebahagiaan bukan?

Dimulakan dengan mencari boyfriend/girlfriend, bercinta bagai nak rak, tapi pada suatu masa boyfriend/girlfriend tu pasti akan pergi meninggalkan kita.

Kemudian, mungkin jika kaya, pasti kita bahagia kan? Kita bersungguh-sungguh mengumpul wang, bekerja siang dan malam, sehingga duit kita berjuta-juta, namun pada suatu masa duit juga akan lenyap. Sekejap sahaja duit kita boleh lenyap contohnya, terpaksa membayar hutang berjuta-juta.

Kemudian, kita mencari lagi, dengan prestij, kita mahu jadi orang yang terkenal, kita mempromosikan diri kita ke seluruh negara dengan menjadi artis, menjadi penyanyi, namun pasti akan ada yang mengatasi kita bukan?

Kemudian, mencari lagi, mungkin apabila menjadi yang terpandai, kita pasti akan bahagia, kita baca semua buku yang ada, masuk universiti sehingga mendapat Diploma, Degree, Master dan PHd. Tak cukup dengan satu PHD, kita dapatkan gelaran Profesor. Tapi, bahagiakah kita? Setelah PHd, apa lagi yang kita boleh cari? Pasti kita akan bosan dengan PHd kita tersebut. Dan ia tidak akan berakhir.

Kita mencari kebahagiaan lagi dengan pergi ke gimnasium, menjadikan badan kita yang terkuat, meminum campuran air akar kayu, tongkat ali sepokok, telur 20 bijik, madu 10 botol, dan pada suatu ketika, doktor menyatakan kita ada penyakit kolestrol tinggi. Bahagiakah kita? Pasti kita akan stress.



Kemudian, kita mencari dengan menghisap rokok, kita hisap satu batang, kemudian dua batang, kita advance sedikit lagi dengan menghidu gam dan menghisap dadah. Kemudian, merempit di jalanan. Menjadi samseng jalanan. Pergi ke kelab malam, ber'clubbing', meminum minuman keras, dan lain-lain.

Pada suatu masa, kita akan merasakan diri kita kosong. Kita akan merasa tekanan. Apabila semua sudah pergi meninggalkan kita. Termasuk ibu bapa kita.

"Aku stress, diriku kosong... Rutin diriku sentiasa sama, aku stress, bagaimana aku nak hadapi masalah ini?Aku bosan....BOSAN!!! Girlfriendku lari, aku sudah tidak ada wang, aku stress, ibu bapaku sudah hilang kepercayaan denganku, aarghh, aku stress...Wangku, girlfriendku, arrrghh, aku stresss....WANGKU!!!ARRRRGGGGHHHH..!!!"

Kemudian kita mati, mati dengan keadaan yang hina. Dalam keadaan yang merugikan. Manusia sentiasa mencari kebahagiaan, jiwa manusia terasa kosong. Sesungguhnya, jangan mencintai selain daripada Allah SWT. Letakkan Allah SWT di dalam hati. Sesungguhnya Dialah yang menciptakan kita. Sesungguhnya Dialah yang memberi kita nikmat. Alhamdulillah.

Apa itu 165?

Assalamualaikum,bacalah cerita di bawah dari Hadis Sahih.

Ketika Rasulullah bersama-sama sahabat didalam Masjid Nabawi,datanglah seorang pemuda yang amat cantik rupa parasnya,bersih pakaiannya,dan wangi bau nya tetapi dia bukanlah seorang musafir,kerana jika dia seorang musafir pasti pakaiannya kotor dan jika dia penduduk tetap Madinah, pasti ada di antara sahabat yang mengenalinya. Datang dia duduk begitu rapat dengan Rasulullah SAW sehingga lututnya dan Rasulullah berlaga. Pemuda itu memberi salam kepada Rasulullah.

Lalu dia pun bertanya "Wahai Rasul Allah,terangkan kepada ku tentang apa itu Islam? Maka Rasulullah menjawab "Islam ada 5 iaitu adalah menegakkan kalimah La'illahailallah Muhammadar Rasulullah, mendirikan solat 5 waktu sehari semalam,berpuasa di bulan Ramadhan,mengeluarkan zakat jika berkemampuan,dan menunaikan haji di Mekah".

Pemuda itu berkata "Kau benar wahai Rasul Allah". Para sahabat siapakah pemuda ini,dia bertanya dan ia membenarkannya. Pemuda itu bertanya lagi,"Wahai Rasul Allah,terangkan kepadaku apa itu Iman?" Rasulullah lantas menjawab "Iman ada 6 itu percaya kepada Allah, Rasulnya, Malaikatnya, Kitabnya ,Hari Kiamat serta Qada' dan Qadar Allah. Pemuda itu lantas berkata,"Kau benar wahai Rasul Allah" dan dia bertanya lagi,"Terangkan kepadaku apa itu Ihsan?"

Rasulullah SAW menjawab " Ihsan itu adalah beribadat seolah-olah kau melihat Allah,tetapi jika tidak mampu beribadatlah seolah-olah Allah melihatmu". Pemuda itu berkata lagi " Kau benar wahai Rasul Allah"dan dia bertanya lagi, "Bilakah akan datang hari Kiamat?" Rasulullah menjawab "Orang yang bertanya dan orang yang ditanya tidak tahu,hanya Allah yang mengetahuinya" pemuda itu berkata lagi "Kalau begitu berikan tanda-tandanya," tanya pemuda itu lagi.Rasulullah menjawab, "Antaranya, pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan-bangunan yang tinggi dan hamba-hamba melahirkan tuannya,".

Kemudian pemuda itu pun berlalu pergi. Rasulullah SAW bertanya kepada Umar ibn Khattab "Tahukah kamu siapakah gerangan pemuda itu?" Umar mengelengkan kepala dan berkata "Hanya Allah dan RasulNya sahaja yang mengetahui" Rasulullah berkata lagi, "Itu lah Malaikat Jibrail yang ingin menjelaskan kepada kita tentang 1 Ihsan 6 Iman dan 5 Islam.

Ya Allah, begitu mendalam sekali maksudnya. Ya Allah, Engkau berikanlah kami agar sentiasa berada di dalam jalan 165, Ya Allah.

IQ + EQ + SQ

Assalamualaikum,

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari,
Demi bulan apabila ia mengiringi,
Demi siang apabila ia menampakkan diri,
Demi malam apabila ia menutupi,

Demi langit dan seluruh binaannya,
Demi bumi serta yang ada di permukaannya,
Demi jiwa dan penyempurnaannya,

Allah mengilhami sukma kefasikan dan ketakwaan,
Beruntung bagi yang mensucikannya,
Merugi bagi yang mengotorinya.

Alhamdulillah, disini saya menulis kesemua apa yang semua saya belajar dari rakan-rakan ATS,ibu bapa saya, belajar dari para trainer ESQ, para alumni, juga dari Pak Ary (Dr. Ary Ginanjar Agustian) sendiri walaupun tidak pernah berjumpa dengan Pak Ary dan juga saya telah belajar dari junjungan besar kita semua, Nabi Muhammad SAW (selawat dan salam ke atasnya).

Ketika itu, saya pernah duduk. Melihat ke arah langit, mencari sebuah pengertian hidup. Pernah saya terfikir, kenapa tidak saya main sahaja. Kenapa tidak saya tidur sahaja, pasti seronok, kenapa saya perlu belajar? Membosankan...

Apa tujuan kita hidup? Saya menanyakan kepada rakan-rakan, saya tidak dapat jawapan yang memuaskan. Siapa saya? Bila saya menjawab, saya Sofwan, tetapi saya sedar itu adalah nama saya, sedangkan beribu-ribu orang lagi yang mempunyai nama yang sama seperti saya. Bila saya menjawab bahawa yang saya ini adalah pelajar, itu adalah pekerjaan saya sekarang.

Jadi di situ saya kehilangan kata. Saya terdiam. Saya masih mencari. Dan apabila saya menyertai ESQ Leadership Training, saya mendapat apa yang saya cari itu.

ESQ adalah sebuah model yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Kehidupan kita yang fana ini. Ia menggabungkan tiga kecerdasan sekaligus mampu membangunkan sebuah jalan yang lebih baik bagi kita.

IQ - Kecerdasan intelektual, di mana kemahiran berfikir menggunakan logik akal fikiran. Contohnya 1 + 1 = 2, tidak boleh 1 + 1 = 11, tak mungkin terjadi. Pada tahun 1930 hingga tahun 90an, orang mementingkan IQ sedangkan IQ berperanan hanya 6% hingga 20% dalam kejayaan hidup.

EQ - Disinilah kejayaan sebenar manusia. Manusia boleh mempengaruhi manusia lain dengan baik. Manusia boleh mem'bodek', kemampuan berkomunikasi, inilah yang selalu digunapakai oleh orang 'direct-selling', kalau tak pakai business tak jalan. Tetapi ada diantara orang yang mengunapakai EQ sebagai yang utama, tetapi mereka boleh memutarbelitkan fakta, menipu. Seperti buaya. Depan cakap lain, belakang niat lain, contohnya, 'Ayah dah makan?' tetapi yang tersirat 'Boleh dapat banyak duit belanja esok.', betul tidak?

Bila IQ + EQ, menjadikan orang itu berjaya, namun ketika ia berada di puncak kejayaannya, ia merasa bosan. Lalu terjadilah kejadian bunuh diri, contohnya di Jepun, negara yang mempunyai teknologi yang terhebat di dunia, tetapi setiap tahun 20 000 - 30 000 ribu orang mati bunuh diri dan juga di Jambatan Golden Gate, ia terkenal di seluruh dunia, tetapi juga terkenal dengan sebagai tempat bunuh diri di California, lebih 5 000 orang bunuh diri di jambatan itu kerana hidup mereka kosong, stress.

Nah, sekarang kita ada sebuah lagi kecerdasan yang orang kini hanya pandang sebelah mata sahaja iaitu SQ.

SQ - Menggunakan kecerdasan ini manusia dapat mengetahui 'Apa tujuan hidup kita?', 'Siapa diri kita?', 'Kemana kita akan pergi selepas mati?' dan pasti mengeluarkan nilai-nilai kebaikan iaitu nilai-nilai murni. Dan setiap masa kita akan merasa bahagia dan ikhlas dengan segala yang kita lakukan. Malah tiada kata yang dapat diucapkan apabila merasa bahagia spiritual.



Bila digabungkan semuanya, maka jadilah sebuah panduan kepada kehidupan kita. Untuk mengetahui bagaimana untuk berjaya dalam hidup ialah berpandukan ESQ 165, dan dengan menyertai ESQ Training yang kini telah mencapai 850 000 ribu orang alumni di seluruh dunia dan 60 000 orang alumni di Malaysia. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh mendaftar dengan ESQ Leadership Center, sila layari laman sesawang www.esq.com.my untuk informasi lebih lanjut.

"Feel the Experience, Get a Meaningful Life"

Join ESQ Training right now, ia akan menjadi sesuatu yang terbaik untuk anda. Kepada alumni ESQ, rechargelah tidak keluar daripada orbit 165. Kerana, 165 adalah jalan yang telah tertanam lebih kurang 1400 tahun yang lalu. Ia dikorek kembali dan diberi pernafasan baru.

Sekian untuk post saya yang kedua, semoga pembaca dapat memahami apa itu ESQ.

Assalamualaikum.