Assalamualaikum... maafkan saya kerana sudah lama tidak meng'update' blog saya... Di sini saya ingin kisahkan sebuah kisah yang terjadi Rasulullah.
Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah, ada seorang pengemis buta yang hari demi hari apabila ada orang mendekatinya dia selalu berkata.
"Muhammad gila, Muhammad pendusta, Muhammad tukang sihir, apabila kalian mendekatinya, kalian akan dipengaruhinya."
Tidak kira siapa yang datang kepadanya, pengemis Yahudi itu pasti akan menghasut mereka supaya membenci Nabi Muhammad, Rasulullah SAW. Bermacam-macam kata-kata kesat dilemparkan walaupun pengemis tersebut langsung tidak mengenali baginda.
Sikap dan kata-kata buruk yang dilemparkan oleh pengemis Yahudi itu sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW. Namun demikian, Rasulillah tidak mengendahkannya. Sebaliknya, setiap pagi Rasulullah mendatangi si pengemis itu dengan membawakan makanan. Tanpa berucap sepatah kata pun, baginda menyuapkan makanan yang dibawanya ke mulut pengemis.
Si pengemis Yahudi yang buta kedua-dua belah matanya itu mengunkyah makanan tersebut. Habis makan, dia mengucapkan terima kasih tanpa mengetahui orang yang membuat kebaikan kepadanya tadi adalah Rasulullah SAW.
Baginda terus melakukan hal ini setiap pagi sampailah baginda wafat. Sepanjang baktinya itu, tidak pernah sekalipun Rasulullah memperkenalkan dirinya kepada pengemis Yahudi buta itu.
Setelah wafatnya Rasulullah, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Dia menunggu-nuggu di manakah perginya lelaki yang suka memberikannya makanan dan melayannya bagai saudara sendiri. Tapi penantian pengemis Yahudi hanyalah sia-sia kerana lelaki budiman yang ditunggunya itu telah pun wafat.
Suatu hati sahabat baik Rasulullah yakni Saidina Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya, Saidatina Aisya r.a yang merupakan isteri Rasulullah. Abu Bakar bertanya kepada Aisyah, "Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?"
Aisyah menjawab, "Wahai ayah, engkau adalah ahli sunah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja."
"Apakah itu?" tanya Abu Bakar.
"Setiap pagi Rasulullah akan pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana, kemudian menyuapkan ke mulutnya," kata Aisyah.
Keesokkan harinya, Abu Bakar pergi ke pasar dengan membawakan makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar dekati pengemis tersebut dan pengemis itu mula berkata-kata apabila menyedari ada orang mendekatinya.
"Muhammad gila, Muhammad pembohong, Muhammad pendusta, Muhammad tukang sihir," hina pengemis itu. Abu Bakar berasa sayu. Sedih sekali mendengarkannya.
Lantas, Abu Bakar memberikan makanan kepadanya. Ketika Abu Bakar mula menyuapkan makanan tersebut, si pengemis Yahudi yang buta itu tiba-tiba marah dan mengherdik, "Siapakah kamu?"
Abu Bakar menjawab, "Aku orang yang biasa menyuapkan makanan untukmu ada setiap pagi."
"Bukan! Engkau jangan membohongiku!" bantah si pengemis buta itu.
Abu Bakar terkejut, lantas bertanya, "Kenapa engkau berkata begitu?"
Jawab pengemis, "Sebab apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapkan makanan itu kedalam mulutku, tapi terlebih dahylu akan dihaluskan makanan tersebut, setelah itu barulah dia berikan padaku."
Abu Bakar tidak dapat menahan air matanya. Beliau menangis dan terpaksa mengaku siapa dirinya yang sebenar. "Aku bukan orang yang biasa datang kepadamu. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya kerana orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Nabi Muhammad, Rasulullah SAW."
"Muhammad?" soal pengemis buta itu, terperanjat dengan apa yang baru didengarnya tadi. "Maksud kamu orang yang suapkan makanan ke mulutku pada setiap pagi itu adalah Muhammad?" sambung pengemis.
"Ya...Muhammad," jawab Abu Bakar.
Seketika itu juga pengemis Yahudi itu menangis mendengar penjelasan Abu Bakar.
"Selama ini aku selalu menghina dan memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikit pun. Dia tetap juga mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia..." kata pengemis Yahudi sambil mengesat air matanya yang jatuh ke pipi.
Pengemis Yahudi buta itu bersyahadat di hadapan Abu Bakar pada saat itu juga. Mulai saat itu dia menjadi seorang Muslim.
Saturday, July 17, 2010
Memberi Kemaafan...
Posted by WanFarLee at 5:01 PM 0 comments
Tuesday, June 22, 2010
Ujian yang sesungguhnya...
Assalamualaikum.... Alhamdulillah, bertemu lagi kita pada hari ini, dah makan semua ye? Sihat ye semua? Kalau sihat, Alhamdulillah, kalau tidak sihat, cuba ikhtiarkan ke klinik atau telan ubat walaupun pahit.
Ubat pastinya pahit untuk ditelan. Ulat beluncas juga sebelum menjadi seekor rama-rama yang cantik, ia perlu menghadapi sebuah pengalaman pahit iaitu ketika dia ingin keluar dari kepompongnya. Ubat juga pahit untuk ditelan, namun hasilnya amat baik untuk kita.
Begitu juga dengan kehidupan manusia yang pahit ketika tempoh belajar. Sewaktu waktu kecil kita, tempoh kita belajar untuk berdiri, belajar untuk berjalan, kadangkala kita terjatuh. Itulah waktu pahit, dan lihat bagaimana pula hasilnya.
Ketika kita di sekolah, belajar untuk menghadapi peperiksaan SPM, pasti kita berfikir hidup ini begitu susah. Sedangkan Allah memberi kita ujian agar karakter kita menjadi lebih kuat.
Tetapi sesungguhnya nikmat Tuhan kita yang manakah yang kita dustakan? Allah telah memberi kita berbagai nikmat. Tetapi bagaimana dengan diri kita yang sentiasa menyalahkan Allah kerana memberikan kita sebuah beban.
Tidakkah kita memikirkan yang bahwa Allah telah memberikan kita kesenangan dengan makanan yang kita telah makan, kenderaan untuk kita ke pusat ilmu, dan berbagai lagi ilmu.
Dan tidakkah kita memikirkan Allah yang menghidupkan kita selama ini? Tidakkah kita memikirkan yang Allah yang mendegupkan jantung kita? Bagaimana pula, dengan DNA kita, dengan elektron, dengan sel di dalam badan kita dan alam semesta yang sentiasa berpusing mengikut arah lawan jam. Dan bagaimana pula dengan umat Islam yang bertawaf di sekeliling Kaabah melawan arah jam.
Ini menunjukkan Allah mempunyai kuasa. Dan kita tidak sepatutnya ingkar dengan perintah Allah. Sesungguhnya manusia yang bersabar menerima takdir Allah, adalah orang-orang yang sesungguhnya bersabar.
Alhamdulillah....Amin, Assalamualaikum..
Posted by WanFarLee at 7:39 AM 0 comments
Saturday, June 5, 2010
Kehidupan selepas mati? (Part 2)
Assalamualaikum.
Bersambung kembali, tentang kehidupan selepas mati. Kali ini, setelah berada di Padang Mahsyar, kesemua umat manusia akan dihisab atau di mana dipanggil Al-Hisab. Al-Hisab didefinisikan sebagai perhitungan amalan manusia di dunia sama ada baik atau jahat.
Al-Hisab akan dijalankan di Padang Mahsyar. Allah akan menghitung semua amalan yang dilakukan oleh manusia sama ada kecil/besar, dan tidak ada suatu pun yang dapat disembunyikan daripada perhitungan Allah SWT. Masya-Allah, sesungguhnya tidak terlepas mana-mana manusia yang melakukan kesalahan daripada cengkaman Allah.
Dalam Surah Al-Kahfi, ayat 49
"Dan diletakkan buku amalan, lalu engkau lihat orang yang berdosa berasa takut dengan catatan di dalamnya, lalu mereka pun mengeluh dengan berkata 'Aduhai, malangnya kami! Buku apakah ini? Tidak ditinggalkan perkara yang kecil dan besar melainkan dihitung semuanya,'. Mereka dapati apa-apa yang telah dilakukan semuanya di hadapan mereka. Dan Tuhanmu tidak menzalimi sesiapapun."
Allah Maha berkuasa, Maha Agung. Jika kau yakin langit itu dahulunya adalah satu lalu ia meletup dan akhirnya terjadilah alam semesta. Jika kau yakin dengan perkara ini. 
Surah Al-Anbiyaa', ayat 30
"Apakah orang kafir itu tidak mengetahui, yang dahulunya langit dan bumi ada satu, lalu Kami pisahkan antara mereka dan dari air kami ciptakan tiap-tiap sesuatu yang hidup. Mengapakah mereka tidak mahu beriman?"
Teori Big Bang telah membuktikan ayat ini benar. Jadi, yakinkah dirimu dengan kematian yang bakal anda hadapi? Masih belum yakinkah dirimu? Cuba kau lihat dengan gambar di bawah. 
Surah Ar-Rahman, ayat 37-38
"Maka apabila langit terbelah dan ia menjadi berkilau seperti mawar merah. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
Apa lagi bukti yang kamu mahukan? Sekiranya Allah SWT menciptakan kamu daripada tiada, adakah susah untukNya membangkitkan dirimu daripada bawah tanah? Adakah susah bagiNya?
Setelah kamu dihisab, datanglah pula masa untuk Al-Mizan. Ketika ini, manusia akan ditentukan ke mana mereka akan pergi. Samada syurga ataupun neraka. Jika amalan baik yang lebih banyak daripada yang buruk, maka syurgalah langkahnya. Jika amalan buruk lebih banyak daripada yang baik, maka nerakalah tempatnya.
Surah Al-Anbiyaa', ayat 47
"Dan ingatlah, Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk menimbang amalan makhluk pada hari kiamat, maka tiada sesiapa yang akan teraniaya sedikitpun, dan jika amalannya itu seberat biji sawi sekalipun nescaya Kami akan mendatangkan pahalanya & cukuplah kami sebagai penghitung."
Maka, bagaimana pula dengan diri kita ini? Saya tidak menuduh sesiapa, malah ini juga sebagai peringatan untuk diri saya sendiri. Setidak-tidaknya, lakukan amal-amal yang kecil. Walaupun kebaikan kecil, ia dianggap sebagai penyelamat ketika dihisab kelak.
Ya Allah, berikanlah keampunan kepada kami Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.
Insya-Allah, bersambung lagi kelak, Insya-Allah. Assalamualaikum. Salamun alaika, ya Abdullah.
Posted by WanFarLee at 6:03 AM 0 comments
Wednesday, June 2, 2010
Satu kalimah yang BERKUASA
Assalamualaikum, maaf, sudah hampir sebulan tiada update kerana sering sibuk dengan urusan-urusan yang lain, Insya-Allah, selepas bulan Oktober, lebih banyak update akan dibuat.
Apa maksud kalimah tauhid? Kalimah tauhid ialah sebuah janji atau pengakuan kita kepada Allah dan Rasulullah. Asyhadualla ilah ha ilallah, wa asyhadu anna muhammada rasulullah. Itulah kalimah tauhid.
Kalimah ini adalah kalimah yang amat berkuasa. Ia turut digeruni oleh semua umat manusia. Malah, ada orang yang bukan Islam mengatakan kalimah ini adalah kunci Syurga. Sebuah contoh saya berikan, kalimah ini telah membuatkan para sahabat berjaya menakluki Parsi, Rom dan Byzantine dengan sekelip mata.
Tidak kira, berapa ratus ribu tentera musuh, yang diingati oleh tentera Islam hanyalah kalimah tauhid dan Syurga jikalau mereka syahid. Sultan Muhammad Al-Fateh contohnya, mempunyai sebuah sifat yang mulia. Beliau tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib malah solat sunat tahajud sejak mula usia baligh.
Sejak kecil lagi, Sultan Muhammad Al-Fateh sering melihat Konstantinople dari seberang laut . Dengan sebuah seruan kalimah tauhid daripada 150 000 tentera Islam pada ketika itu, mereka berjaya menakluki Konstantinople setelah mengepungnya dengan begitu lama.
Kalimah tauhid ini amat berkuasa, dikisahkan ada seorang pelajar yang kurang pintar yang sedang menghadapi peperiksaan besar. Pada malam sebelum peperiksaan, dia kurang yakin lalu tidak henti-henti dia menyebut kalimah tauhid dengan sekuat-kuat keyakinan di dalam hatinya sehingga dia tertidur sendirinya. Ternyata, dia mendapat A dalam kesemua peperiksaan yang dihadapi sedangkan dia sering mendapat D atau C.
Ini bermakna kalimah ini adalah sebuah kalimah yang AGUNG. Allah SWT dan Rasulullah sentiasa diingati oleh setiap umat Islam, malahan kalimah ini telah membuat beberapa perkara yang ajaib, contohnya sebuah cerita di samada di Palestin atau Afhganistan, saya kurang pasti, ada seorang fisabilillah yang sedang berseorangan dan dia dikepung oleh beberapa orang askar musuh.
Tidak henti-henti dia mengucapkan kalimah tauhid ini. Dalam hati berkata, "Ya Allah, tukarkanlah serbanku ini menjadi sebuah bom,"
Lalu dibalingnya serban itu, dengan kuasa Allah SWT, serban itu meletup dan kesemua tentera musuh mati dengan sebuah kalimah agung yang tidak dapat lagi disangkalkan kekuasaannya.
Insya-Allah, sentiasalah berzikir dengan kalimah yang agung ini, Insya-Allah pasti kalimah tauhid ini akan dapat membantu diri para pembaca sekalian. Assalamualaikum.
Posted by WanFarLee at 12:10 AM 0 comments
Friday, May 7, 2010
Kehidupan selepas mati? (Part 1)
Assalamualaikum....
Ya, maaf kerana kurang meluangkan masa untuk meng'update' blog ini kerana urusan-urusan yang tidak dapat dielakkan.
Sering kali manusia terfikirkan mengenai kehidupan kita selepas mati. Orang kerapkali tidak meyakini tentang kehidupan kita selepas mati.
Bagaimana ketika kita mati?
Ketika kita mati, roh kita akan terbang ke Lauh Mahfuz, jasad kita pula akan ditanam sedalam 7 kaki ke bawah tanah dan bermula dari saat itu, datang Malaikat Ruman, dan kemudiannya Malaikat Munkar dan Nankir menanyakan kita tentang kehidupan kita di dunia.
Ketika kita dapat menjawab dengan benar, maka kubur kita akan diluaskan, diberikan perhiasan yang indah dari syurga. Dilayan baik oleh malaikat. Diberitahu tentang ganjaran yang akan diterima di dalam syurga. Subhanallah...Nikmat Allah SWT yang sungguh besar, Maha Pengasih kepada hambaNya.
Ketika kita menjawab dengan tergagap-gagap, maka seksaan yang keras, malah lebih keras daripada mana-mana seksaan yang pernah dijalankan di dunia. Kubur akan disempitkan sehingga tulang rusuk kanan bertemu dengan tulang rusuk yang kiri. Binatang-binatang yang berbisa seperti ular dan kala jengking akan mematuk dan menyengat kita. Allahuakbar...Allah SWT Maha Adil kepada hamba-Nya yang melakukan maksiat.
Setelah itu, kiamat berlaku. Gunung-ganang semuanya hancur terbelah, ombak lautan meninggi. Tiada lagi yang mampu dikatakan. Semua yang ada di bumi kemudiannya hancur berderai. Tahi-tahi bintang yang banyak, menghentam bumi. Kemudian terdengar sebuah pekikan yang dahsyat, lalu mematikan semua orang yang masih hidup ketika kiamat berlaku.
Kemudian kita kan dibangkitkan. Orang-orang kafir tidak meyakini kebangkitan semula selepas mati, malah dibantah-bantah pula.
'Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, dan Arsy-Nya di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Jika engkau berkata, "Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan setelah kamu mati" nescaya orang-orang yang kafir itu akan berkata, "Ini hanyalah sihir yang nyata."'
(Surah Hud, Ayat 7)
Ketika ini, masih ada yang ragu-ragu dengan firman Allah SWT ini. Tidakkah kita semua memikirkan betapa senang Allah SWT menciptakan anda semua ketika kita masih tiada dahulu.
Ketika kita semua dibangkitkan, Masya-Allah, berbagai-bagai jenis manusia, ada yang setinggi pohon kepala, ada juga yang seperti kita. Tiada seurat benang yang menutupi badan mereka, kerana itulah digalakkan wanita menyimpan rambut yang panjang untuk menutupi kemaluan. Ketika itu, setiap orang mencari-cari Nabi Muhammad untuk memohon syafaat daripadanya.
Bagi orang-orang mukmin, mereka berada di dalam keadaan selesa & tenang. Langsung tiada riak kegelisahan di muka mereka tetapi sungguh berbeza untuk orang kafir, munafik, dan fasik kerana ketika itu, mereka sungguh kepanasan seperti matahari berada sejengkal daripada kepala mereka.
Insya-Allah, di lain masa pasti bersambung jika umur masih panjang. Insya-Allah.
Posted by WanFarLee at 6:23 AM 0 comments
Thursday, April 29, 2010
Engkau masih mahu melakukan maksiat??
Assalamualaikum, maaf, tiada update sejak seminggu yang lepas. Hari ini, Alhamdulillah, terbaca sebuah kisah untuk teladan kita bersama.
Pada suatu hari, seorang lelaku datang menemui Ibrahim bin Adham r.a. Lelaki itu bertanya kepada ulama tersebut.
"Ya Ibrahim! Aku ini suka melakukan dosa sedangkan aku juga takut kepada Allah SWT. Tolonglah berikan aku cara atau nasihat agar aku dapat menghindari diriku daripada dosa."
Setelah mendengar kata-kata tersebut, Ibrahim menjawab.
"Au boleh membantumu tetapi engkau mesti terlebih dahulu menerima lima syarat yang akan aku berikan sebentar lagi.
Lelaki tu bertanya dengan gembira;
"Apa syarat-syaratnya, ya Ibrahim?"
Ibrahim bin Adham r.a memberitahu syarat pertamanya.
"Jika engkau mahu terus melakukan maksiat, jangan makan rezeki yang diberikan Allah SWT kepadamu."
Lelaki itu mengerutkan keningnya.
"Jangan makan rezeki yang diberikan-Nya? Ah, kalau begitu, aku nak makan apa? Bukankah semua rezeki di atas muka bumi ini milik Allah SWT, ya Ibrahim?"
Tegas Ibrahim Adham r.a.,"Ya! Kalau enghkau sudah tahu, bolehkah engkau makan rezeki-Nya sedangkan dalam masa yang sama engkau terus melakukan maksiat?"
"Baiklah... baiklah," lelaki itu mengalah, "Apa syarat yang keduanya, ya Ibrahim?"
"Kalau engkau mahu terus melanggar perintah Allah dan melakukan dosa, jangan engkau tinggal di bumi Allah SWT ini," Ibrahim bin Adham mengajukan syarat kedua.
Syarat ini membuat lelaki itu tercengang, "Hah! Ini lebih teruk lagi! Aku mahu tinggal di mana? Bukankah bumi ini milik Allah SWT?"
Ibrahim Adham r.a. tersenyum lalu bertanya kepada lelaki tersebut, "Wahai saudaraku, fikirkanlah, apakah engkau layak untuk makan rezeki dan tinggal di bumi ini sedangkan engkau melanggar perintah-Nya?"
Lelaki itu mengalah dan bertanya syarat ketiga pila.
"Kalau engkau masih mahu melakukan dosa, memakan rezeki dan tinggal dibumi-Nya, maka engkau pergilah ke tempat tersembunyi yang tidak mampu dilihat oleh Allah SWT. Engkau lakukanlah maksiat sesuka hatimu di tempat itu," Ibrahim Adham r.a. memberitahu syarat yang ketiganya.
Syarat ini membuat lelaki itu terperanjat," Ya Ibrahim! Ini nasihat apa? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"
"Nah, kalau engkau yakin dia sentiasa melihat, perlukah engkau melakukannya lagi? Sudahlah engkau makan rezeki dan hidup di bumi-Nya, engkau masih juga melakukan kejahatan di hadapan Allah! Wajarkah?" ucap Ibrahim.
Lelaki itu tunduk mendiamkan diri."Baiklah, ya Ibrahim! Apakah syarat keempat?"
Ibrahim menjawab, "Syarat seterusnya, jika malaikat maut datang untuk mencabut nyawa kamu, katakanlah kepadanya, bahawa nanti dulu! Jangan cabut nyawaku sekarang, aku mahu bertaubat dan melakukan amal soleh dulu!"
Lelaki itu menggeleng kepala. " Ya Ibrahim, mana mungkin malaikat maut terima rayuan aku! Mana boleh kematian kita ditangguh-tangguh!"
Ibrahim bin Adgam r.a. pantas menjawab, "Nah, kalau engkau yakin tidak boleh mengelak dan menangguhkan kematian, apakah jalan terbaik untuk keluar daripada kemarahan Allah SWT?"
Sekali lagi lelaki tersebut mendiamkan diri. Dia bertanya syarat kelima pula.
"Wahai saudaraku, jika malaikat Zabaniyah datang hendak mengheret kamu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan ikut bersamanya! Kalau engkau mampu melakukan syarat terakhir ini, maka engkau boleh terus melakukan maksiat semasa engkau masih hidup ini," Ibrahim Adham r.a. memberitahu syarat kelima.
Kata-kata Ibrahim membuatkan lelaki itu terdiam. Dia bertanya, "Ya Ibrahim, syarat ini terlalu menakutkan. Malaikat itu tidak akan menerima permintaanku!"
Lelaki itu tidak mampu lagi mendengar kata-kata Ibrahim. Dia menangis dan dengan wajah menyesal berkata, "Ya Ibrahim, cukup... cukup... jangan kau teruskan lagi. Mulai saat ini, aku bertaubat kepada Allah Taala. Aku takkan melakukan maksiat lagi," kata lelaki itu.
Ternyata dia menepati janjinya. Sejak dari pertemuannya dengan Ibrahim Adham r.a., lelaki itu benar-benar bertaubat. Dia melakukan segala amal ibadah dan mematuhi perintah Allah SWT sehingga menemui ajalnya.
Para pembaca sekalian, bagaimana pula dengan kita? Adakah kita takut kepada Allah SWT tapi kita masih melakukan maksiat? Katakanlah... ini adalah pilihanmu sendiri, engkau adalah manusia yang mempunyai pilihan..
Posted by WanFarLee at 4:32 AM 0 comments
Tuesday, April 20, 2010
Kebahagiaan sejati...
Assalamualaikum, bacalah cerita di bawah ini.
Seorang petani dan isterinya bergandingan tangan menyusuri jalan untuk pulang ke rumah dibasahi air hujan, tiba-tiba,berlalulah sebuah motorsikal di depan mereka, lalu berkatalah si suami itu.
"Lihatlah, sayang, betapa bahagianya suami isteri yang menunggang motorsikal itu, meskipun hujan, namun mereka boleh sampai cepat ke rumahnya, tidak seperti kita yang harus penat berjalan untuk sampai ke rumah."
Sementara itu, penunggang motorsikal itu dan isterinya sedang membonceng di bawah lebatnya hujan melihat sebuah kereta pick-up yang bergerak melewati mereka, penunggang motorsikal itupun berkata.
"Lihat, sayang, betapa bahagianya orang yang menaiki kereta itu, mereka tidak basah terkena air hujan seperti kita."
Lain pula keadaan di didalam kereta pick-up yang dinaiki oleh sepasang suami isteri, terjadi sebuah perbualan ketika sebuah kereta Mercedes berlalu dihadapan mereka, si suami berkata.
"Tengok kereta itu. Betapa bahagianya orang yang naik kereta yang bagus, pasti selesa, tidak seperti kereta kita yang selalu rosak."
Pemandu kereta Mercedes itu seorang lelaki yang kaya, dan ketika dia melihat sepasang suami isteri yang berjalan bergandingan tangan di bawah hujan lebat, lelaki kaya itu berkata di dalam hatinya.
"Betapa bahagianya suami isteri itu, mereka berjalan bergandingan tangan sambil menyusuri indahnya jalan di kampung ini, sementara aku dan isteriku tidak pernah ada waktu untuk kami berdua kerana kesibukan kami masing-masing."
Kebahagiaan tidak akan pernah kau miliki jika kau hanya melihat kebahagiaan yang dimiliki orang lain, dan kau selalu membandingkan hidupmu dengan hidup orang lain. Bersyukurlah atas hidupmu supaya kau tahu di mana kebahagiaan sejatu itu berada.
Posted by WanFarLee at 3:30 AM 0 comments


